
Pemakaian pangkat pegawai kanan Maritim Malaysia, amanah lebih besar menanti
PUTRAJAYA – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) terus mengiktiraf dedikasi dan pengorbanan pegawai kanan dalam memastikan keselamatan perairan negara dengan mengadakan Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan di Ibu Pejabat Maritim Malaysia, semalam.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli Abdullah berkata, majlis itu bukan sekadar satu acara rasmi, tetapi lambang penghormatan terhadap komitmen serta tanggungjawab pegawai dalam menjalankan tugas mereka.
“Setiap kejayaan seorang pegawai bukan hanya hasil usaha individu semata-mata, tetapi turut didorong oleh sokongan daripada keluarga dan rakan setugas.
“Mereka inilah yang menjadi pendorong utama di sebalik cabaran tugas yang dihadapi,” katanya dalam ucapan pada majlis semalam.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim, serta pegawai-pegawai kanan ibu pejabat dan pengarah-pengarah Maritim Negeri.
Dalam majlis tersebut, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria dinaikkan ke pemangkuan pangkat Laksamana Muda Maritim Gred Utama C berkuat kuasa 17 Februari 2025.
Beliau kini diperjawatkan sebagai Pengarah Bahagian Keselamatan dan Pengawasan Maritim.
Selain itu, tiga pegawai kanan turut menerima pemangkuan pangkat ke Laksamana Pertama Maritim Gred T14, iaitu Kepten Maritim Haji Mohd Khairi Abd Azi yang kini menjawat jawatan Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Kepten Maritim Mohd Rizal Hishamuddin yang dilantik sebagai Pengarah Bahagian Kejuruteraan, serta Kepten Maritim Shahref Steve Mac Queen Abdullah yang mengetuai Bahagian Siasatan Jenayah Maritim.
Pemangkuan pangkat mereka berkuat kuasa 20 Februari 2025.
Mohd Rosli turut mengingatkan pegawai yang menerima kenaikan pangkat supaya sentiasa menjaga kebajikan anggota bawahan kerana kesejahteraan mereka adalah faktor utama keberkesanan operasi di lapangan.
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada kepimpinan terdahulu yang telah membina asas kukuh untuk Maritim Malaysia berkembang sebagai benteng pertahanan maritim negara.
“Kita berdiri teguh pada hari ini hasil usaha dan kepimpinan generasi terdahulu.
“Penghormatan harus diberikan kepada mereka yang telah membina asas kukuh untuk kita terus memperkasa perkhidmatan dan menjaga kesejahteraan perairan negara,” katanya lagi.
Dengan pemakaian pangkat itu, barisan kepimpinan Maritim Malaysia diharapkan terus beriltizam menggalas amanah dengan penuh dedikasi, menjunjung integriti serta memperkukuh keselamatan dan penguatkuasaan maritim demi kesejahteraan rakyat dan negara.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |