Berita Semasa

Pajakan 28 helikopter RM16.6 bilion lebih komprehensif – Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – Kerajaan menegaskan keputusan memajak 28 helikopter AugustaWestland 139 dengan kos RM16.6 bilion dibuat berdasarkan pertimbangan menyeluruh yang merangkumi penyelenggaraan, insurans, latihan serta pemindahan kemahiran selama 15 tahun.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah itu membolehkan kerajaan mengelakkan perbelanjaan besar secara sekaligus selain tidak perlu menanggung kos tambahan seperti penyelenggaraan dan alat ganti sekiranya pembelian terus dilakukan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

“Jika kita menggunakan hujah Larut (Hamzah Zainudin) dan mengambil harga yang dibayar Poland sebagai rujukan untuk membeli secara terus 28 helikopter itu, kita hanya perlu membayar kira-kira RM7.5 bilion.

“Tetapi angka itu hanya melibatkan kos pembelian semata-mata dan tidak mengambil kira kos lain yang tidak boleh dielakkan seperti penyelenggaraan dalam dan luar pangkalan serta simpanan alat gantian,” katanya ketika menggulung perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat semalam.

Khaled turut menjelaskan pakej pajakan ini merangkumi pelbagai manfaat tambahan termasuk latihan dan kursus kepada kira-kira 1,300 juruterbang serta kru penerbangan.

Selain itu, ia turut melibatkan pemindahan kemahiran kepada jurutera dan juruteknik dari agensi-agensi pengguna, perlindungan insurans bagi aset, kru, penumpang serta pihak ketiga, selain kos pembiayaan atau peminjaman.

“Dengan pakej ini, kerajaan tidak perlu menguruskan kos-kos terbabit kerana semuanya telah dimasukkan dalam nilai pajakan yang ditetapkan,” katanya lagi.

Minggu lalu, Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin, mengkritik keputusan kerajaan menyewa helikopter tersebut dengan mendakwa pembelian terus daripada pengeluar hanya menelan belanja RM3.95 bilion.

Menurut Hamzah, Poland membeli 32 helikopter AW 149 dengan kos sekitar USD2 bilion (RM3.95 bilion) termasuk pakej pemasangan dalam negara.

Khaled berkata, perbandingan itu tidak tepat kerana harga yang disebut Hamzah hanya merangkumi pembelian dan bukan kos operasi jangka panjang seperti penyelenggaraan dan insurans.

“Kerajaan telah mengambil kira semua aspek dalam perolehan itu bagi memastikan aset strategik ATM kekal beroperasi dengan lancar dan berkesan,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button