
Keadaan kesihatan Yang di-Pertuan Agong semakin pulih
BAHRAIN – Kesihatan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dilaporkan semakin baik selepas menjalani rawatan konservatif bagi masalah kesakitan otot dan tulang (musculoskeletal) di luar negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang berpeluang menghadap baginda ketika lawatan rasmi di Bahrain, memaklumkan bahawa keadaan kesihatan baginda kini jauh lebih baik berbanding sebelum menerima rawatan.
“Saya telah diperkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong sebanyak dua kali dan Alhamdulillah, rawatan awal yang dijalankan menunjukkan kesan positif walaupun baginda masih perlu dipantau.
“Kesihatan baginda menunjukkan banyak peningkatan, dan sebelum meneruskan rawatan seterusnya, baginda memilih untuk pulang ke tanah air terlebih dahulu. Insya-Allah, rawatan susulan akan diteruskan jika perlu,” katanya dalam satu sidang media selepas menamatkan lawatan rasmi ke Bahrain atas jemputan Putera Mahkota Sheikh Salman Hamad Al Khalifa.
Terdahulu, pada 7 Februari lalu, Istana Negara dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Seri Paduka Baginda telah berangkat ke luar negara bagi menjalani rawatan kesihatan.
Baginda turut diiringi oleh Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, serta Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim.
Dalam kenyataan susulan, Istana Negara turut mengesahkan bahawa Sultan Ibrahim telah selamat menjalani rawatan konservatif tersebut dan dijangka kembali ke Malaysia pada hari Jumaat. -BERNAMA
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |