Berita Semasa

Flat uzur di Skudai: Kerajaan perlu campur tangan

JOHOR BAHRU – Keadaan flat-flat lama di sekitar Skudai di sini memaksa penduduk tinggal dalam keadaan kotor dan daif sehingga mencetuskan risiko kesihatan yang serius.

Perkara itu didedahkan sendiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim

“Kategori macam mana? Belakang tu tahi melantun jatuh dari saluran, sistem pendawaian elektrik dah teruk. Perpaipan dan pembentungan jangan cerita,” katanya lagi.

Menurutnya, keadaan flat yang berusia hampir 40 tahun itu semakin uzur, dengan masalah perpaipan bocor, sistem pendawaian elektrik rosak akibat kegagalan badan pengurusan bangunan menjalankan tanggungjawab.

Bahkan ada dalam kalangan JMB, ada yang menanggung hutang sejak sekian lama dengan jumlah mencecah jutaan ringgit.

Selain masalah pembentungan yang teruk, Marina turut menegaskan bahawa penduduk sering berdepan gangguan bekalan elektrik kerana sistem pendawaian yang sudah begitu usang.

“Ada yang terpaksa hidup tanpa elektrik selama tiga hari akibat kerosakan pendawaian, sedangkan ini sepatutnya tanggungjawab badan pengurusan flat,” katanya lagi.

Malangnya kata beliau, flat-flat berkenaan bukan kediaman Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang berada di bawah tanggungan kerajaan.

Namun, keadaan yang semakin memburuk pada pendapatnya memerlukan campur tangan segera dari kerajaan bagi mencari penyelesaian.

Marina turut berkata, Akta Pembaharuan Semula Bandar yang sedang dalam semakan Jabatan Peguam Negara boleh menjadi penyelesaian kepada masalah itu.

“Undang-undang sedia ada tak mampu atasi masalah yang sudah berlarutan selama puluhan tahun.

“Jika tidak ditangani segera, keadaan akan terus memburuk dan membahayakan keselamatan penduduk,” katanya lagi.

Beliau juga berharap masyarakat tidak terpengaruh dengan sentimen negatif mengenai akta tersebut, sebaliknya memahami keperluannya dalam memastikan penduduk mendapat tempat tinggal yang lebih baik dan selamat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button