
UKKM cipta sejarah, 13 graduan sulung terima Ijazah MBA
KUALA LUMPUR – Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM), institut pengajian tinggi (IPT) pertama di Malaysia yang berfokuskan keusahawanan koperasi, hari ini berjaya melahirkan graduan sulungnya.
Canselor UKKM yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, seramai 13 graduan UKKM dianugerahkan ijazah bagi program Master in Business Administration (Cooperative Management).
Beliau berkata, kesemua graduan yang menerima ijazah pada hari ini merupakan kohort pertama pengambilan UKKM yang bermula pada Julai 2023 yang lalu.
“Saya juga telah mengambil pendekatan untuk sentiasa berusaha bersama-sama UKKM demi memastikan hasrat melahirkan golongan profesional dalam bidang koperasi berjaya dicapai.
“Penubuhan UKKM yang awalnya sukar, menjadi lebih mudah hasil semangat kerjasama dan muafakat yang dilaksanakan. Hasil kerjasama strategik antara KUSKOP, Institut Koperasi Malaysia (IKMa), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan agensi lain yang terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemasyhuran Pro Canselor dan Majlis Konvokesyen kali Pertama UKKM di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini hari ini.
Majlis hari ini turut diserikan dengan pelantikan Pro Canselor UKKM yang baharu iaitu Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud yang juga merupakan Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

Berucap dengan lebih lanjut, Ewon berkata, kejayaan UKKM hari ini adalah hasil sokongan dan usahasama daripada IKMa sendiri yang berperanan dalam memastikan pembangunan modal insan koperasi melalui latihan jangka panjang menjadi kenyataan.
“Sejak ditubuhkan IKMa melaksanakan pelbagai inisiatif dan usaha bagi memastikan profesionalisme gerakan koperasi dinaiktaraf setanding dengan sektor lain di Malaysia.
“Penubuhan UKKM melalui IKMa yang merupakan satu-satunya institut pendidikan dan latihan koperasi di negara ini akan menjadikan konsep pembelajaran sepanjang hayat, sekaligus mentransformasi dan membina gerakan koperasi yang lebih kompeten dan berdaya saing,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Ewon turut memaklumkan sehingga 30 Jun 2024, sebanyak 16,009 koperasi telah berjaya didaftarkan dengan jumlah keanggotaan seramai 7.2 juta.
Beliau berkata, angka tersebut cukup untuk menjadi indikator bahawa koperasi memiliki potensi yang cukup besar dalam membuka satu lembaran baharu dalam melahirkan golongan profesionalisme terutama dalam gerakan koperasi.
“Akan tetapi, sinergi ini hanya akan dapat dicapai sekiranya semua pihak bersatu hati dalam memenuhi sebahagian hasrat kementerian KUSKOP yang ingin melihat penglibatan kalian dalam kewujudan UKKM,” ujarnya lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |