
Sindiket raih hingga RM5,000 bagi setiap MyKad palsu
KUALA LUMPUR – Kumpulan sindiket didapati meraih sehingga RM5,000 bagi setiap Mykad palsu yang ditawarkan kepada warga asing.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, permintaan terhadap dokumen pengenalan palsu itu wujud dan datang daripada kalangan warga asing yang ingin mendapatkan pekerjaan dan menetap di negara ini.
“Melalui hasil risikan yang dibuat JPN (Jabatan Pendaftaran Negara), terdapat penawaran kad pengenalan palsu dibuat dengan harga sekitar RM4,000 hingga RM5,000.
“Kebanyakan permintaan ini datangnya daripada warga asing yang ingin mendapatkan pekerjaan dan menetap di Malaysia,” katanya pada sesi soal jawab, di Dewan Rakyat, hari ini.
Shamsul Anuar berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) yang meminta menteri dalam negeri menyatakan sejauh manakah langkah pemantauan serta tindakan penguatkuasaan diambil terhadap sindiket pemalsuan MyKad.
Shamsul Anuar seterusnya berkata, pihak JPN sentiasa melaksanakan pemantauan berterusan bagi mengesan sebarang aktiviti mencurigakan termasuk penjualan kad pengenalan palsu atau perkhidmatan pemalsuan identiti secara atas talian.
Pemantauan itu, katanya, membabitkan semua platform media sosial antaranya Facebook, Instagram, Telegram dan TikTok bagi memastikan sebarang aktiviti haram dapat dikesan dan ditangani dengan segera.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |