
Ops Hazard: PDRM tidak tolak kemungkinan operasi kilang haram dibiayai warga asing
KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menolak kemungkinan kilang haram memproses bahan sisa elektronik (e-waste) yang diserbu dalam Ops Hazard pada 15 Februari lalu, dibiayai oleh warga asing.
Menurut Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim, siasatan mendapati ada kilang yang didaftarkan kepada warga tempatan namun diuruskan warga asing.
Antaranya, kata Azmi, serbuan di Sungai Siput, Perak, mendapati kilang terbabit menggajikan seorang pekerja warga China berumur 56 tahun sebagai pekerja.
“Individu itu bekerja sebagai saintis selama setahun di kilang terbabit yang berupaya menganalisa partikal bahan e-waste kepada pelbagai unsur seperti emas, tembaga, timah, kuprum, aluminium pada gred tertentu.
“Dia juga mempunyai kemahiran menganalisa kualiti dan kuantiti udara, air dan kepanasan dalam proses peleburan dan penguraian bahan e-waste,” katanya dalam satu sidang akhbar di Bukit Aman, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar dan Timbalan Pengarah JKDNKA Bukit Aman, Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi.
Aktiviti memproses sisa e-waste mempunyai pulangan yang agak lumayan kerana sisa bahan elektronik mengandungi logam berharga seperti emas, perak, tembaga, platinum dan palladium yang mempunyai nilai kitar semula yang tinggi antara RM150 hingga RM400,000 sekilogram.
“Hasil soal siasat kita mendapati e-waste dihantar menggunakan kontena melalui jalan darat ke kilang pemprosesan haram ini, kemudian e-waste yang siap diproses menjadi bentuk jongkong seperti besi, timah dan tembaga akan dieksport semula ke luar negara.
“Proses ini membabitkan peleraian dan pengasingan bahan berharga dengan logam berharga tanpa lesen yang sah daripada JAS,” katanya lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |