Bisnes & Ekonomi

Mutiara Perlis, BDB meterai MoU bangunkan kemudahan maritim utara Malaysia

KUALA LUMPUR – Mutiara Perlis Sdn Bhd (Mutiara Perlis), pemilik dan pemaju Perlis Sanglang Port (PSP), menjalin kerjasama strategik dengan Bina Darulaman Berhad (BDB) menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) bagi membangunkan kemudahan maritim mampan di utara Semenanjung.

MoU yang dimeterai itu bertujuan meningkatkan kecekapan logistik serta memperkukuh hubungan ekonomi di rantau tersebut.

Majlis menandatangani MoU itu turut disaksikan oleh Pengerusi BDB, Che Had Dhali dan Pengerusi Eksekutif Mutiara Perlis, Datuk Shabaruddin Ibrahim.

Shabaruddin berkata, projek itu langkah penting dalam memperkukuh infrastruktur maritim di utara negara selain memberi manfaat kepada industri berkaitan di Kedah dan Perlis.

Beliau menegaskan bahawa kemudahan di PSP mampu beroperasi sepanjang tahun tanpa halangan faktor alam semula jadi seperti air surut dan cuaca.

“MoU itu mencerminkan komitmen kami membangunkan kemudahan bersama bagi pengguna maritim yang memerlukan infrastruktur sokongan lebih cekap,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut berkata, kemudahan itu akan menjana lebih banyak aktiviti nautika, khususnya semasa musim cuti dan acara seperti LIMA Langkawi.

“Industri di Perlis juga dijangka menerima manfaat menerusi terminal kargo pukal yang membantu mengurangkan kos logistik serta memperkukuh eksport mineral ke pasaran antarabangsa,” katanya lagi.

Upacara pemeteraian MoU itu disempurnakan oleh Pengarah Eksekutif Kumpulan BDB, Raja Shahreen Raja Othman dan Pengarah Urusan Kumpulan serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mutiara Perlis, Wan Ahmad Zaheed Wan Mohamad.

Sementara itu, Pengerusi BDB, Che Had Dhali menyifatkan kerjasama itu sebagai langkah penting dalam pembangunan kemudahan maritim di utara Malaysia.

“Dengan pengalaman luas BDB dalam pembangunan hartanah, kejuruteraan dan pembinaan, projek ini bakal menjadi mercu tanda baharu yang menghubungkan Perlis dan Langkawi dengan lebih baik,” katanya lagi.

Beliau turut berkata, kerjasama itu bukan sahaja memperkukuh hubungan antara Sanglang, Perlis dan Langkawi, Kedah tetapi juga membuka peluang baharu dalam sektor maritim dan logistik.

Kemudahan yang bakal dibangunkan di PSP melibatkan pangkalan bekalan Langkawi untuk perkhidmatan kapal RORO, pangkalan bekalan Langkasuka bagi operasi medan minyak dan gas serta terminal kargo pukal untuk pengendalian barangan kering dan cecair.

Projek itu dijangka memberi kesan positif kepada kawasan perindustrian utama seperti Kawasan Perindustrian Lembah Chuping, Kedah Rubber City dan Taman Sains dan Teknologi Kedah.

Kerjasama itu juga seiring dengan Pelan Pembangunan Strategik Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) 2021-2025 yang menekankan pembangunan infrastruktur logistik bagi menyokong pertumbuhan ekonomi serantau.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button