Berita SemasaPolitik

Kuasa luar mahu singkirkan Lim Guan Eng? Ganti dengan pemimpin lebih ‘sederhana’?

KUALA LUMPUR – Khabar angin mengenai gerakan tersusun untuk menyingkirkan Lim Guan Eng daripada jawatan kepimpinan DAP mula bertiup susulan pemilihan parti itu pada 16 Mac ini.

Laporan FMT yang memetik sumber dalaman parti berkata, usaha itu sedang dijalankan atas sebab-sebab tertentu dan bukanlah satu gerakan konspirasi.

Dalam laporan itu, portal berkenaan melaporkan veteran parti S Neelamekan mendakwa ada kuasa luar yang mahu menyingkirkan Lim, sementara satu lagi sumber mendakwa penyingkiran itu untuk mencari pemimpin yang lebih sederhana bagi menarik sokongan pengundi Melayu.

Bagaimanapun, sumber dalaman itu menegaskan bahawa sentimen terhadap Lim, bekas ketua menteri Pulau Pinang selama dua penggal, telah lama wujud, terutama dalam kalangan ahli yang kecewa terhadap kritikan terbukanya kepada penyandang Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

“Tidak wujud ‘deep state’ atau usaha untuk menggulingkan pemimpin lama dalam parti. Tetapi memang wujud gerakan untuk menyingkirkan beliau,” kata sumber dari Pulau Pinang yang enggan dinamakan.

Sumber itu juga berkata, ada ahli parti kurang senang dengan pengaruh keluarga Lim dalam kepimpinan DAP, merujuk kepada adik perempuannya, Lim Hui Ying, yang kini setiausaha DAP Pulau Pinang.

Mereka memberi amaran keadaan itu boleh menjejaskan nilai-nilai teras DAP.

Tambah sumber, Lim juga dilihat sebagai “liabiliti semakin besar”, dengan ahli veteran bimbang dua kes rasuah yang dihadapinya mungkin menjejaskan imej DAP di mata umum.

Katanya, walaupun Lim dan bapanya Kit Siang sudah banyak berkorban untuk perjuangan parti itu tidak bermakna mereka boleh terus kekal memimpin.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button