Berita Semasa

KKM terus laksana saringan kusta di kampung Orang Asli, Sabtu ini

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus melaksanakan saringan jangkitan kusta terhadap penduduk Kampung Orang Asli (KOA) Guntur di Negeri Sembilan, Sabtu ini.

Sehubungan itu, kata Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dalam satu kenyataan hari ini, penduduk kampung yang masih belum menjalani saringan itu diminta memberi kerjasama untuk proses terbabit pada hari berkenaan.

“JAKOA memandang serius penularan wabak kusta di KOA Chergun dan KOA Guntur, Negeri Sembilan, sehingga menyebabkan kematian seorang remaja Orang Asli.

“Justeru, JAKOA Negeri Sembilan bersama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) telah mengambil langkah proaktif berhubung perkara itu.

“Selain itu, JAKOA juga mengambil maklum tindakan Kerajaan Negeri Sembilan melaksanakan kuarantin di kawasan berkenaan, dan akan terus memberi kerjasama penuh kepada kerajaan negeri serta KKM,” katanya dalam kenyataan tersebut.

JAKOA berkata, jangkitan itu dikesan bermula dengan sembilan penduduk membabitkan lima di KOA Chergun dan empat lagi di KOA Guntur disahkan menghidap penyakit kusta pada 2 Januari lalu.

Seterusnya pada 22 Januari lalu, Pejabat Kemajuan Orang Asli Daerah (PKOAD) Kuala Pilah/Tampin menerima senarai nama pesakit terbabit daripada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Pilah.

“Pada hari sama, satu perbincangan telah diadakan antara PKOAD Kuala Pilah/Tampin bersama PKD, dan pihak PKD mengesahkan jumlah pesakit di kampung berkenaan.

“Saringan secara agresif telah dijalankan oleh KKM terhadap penduduk kedua-dua kampung berkenaan,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, pada 15 Februari lalu, KKM melakukan saringan seterusnya terhadap mereka yang belum menjalani saringan berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button