
Kerajaan negeri tidak bercadang buka Pusat Transit Gelandangan
SHAH ALAM – Kerajaan negeri Selangor tidak merancang untuk mewujudkan sebarang Pusat Transit Gelandangan di negeri ini.
EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari berkata, langkah sedia ada dalam menangani isu gelandangan dan orang papa sudah memadai.
“Bagi kes orang papa warganegara, mereka akan diserahkan semula kepada waris atau penjaga dan bantuan kewangan secara bulanan akan diberikan sekiranya memenuhi kelayakan.
“(Manakala) Bagi kes orang papa yang tiada waris atau penjaga, mereka akan ditempatkan di institusi kebajikan atau pusat jagaan NGO (pertubuhan bukan kerajaan).
“JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) akan membuat rujukan kepada Jabatan Imigresen bagi kes orang papa bukan warganegara untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini
Anfaal berkata demikian bagi menjawab soalan Cheong Kian Youg (PH-Kajang) mengenai agensi yang bertanggung jawab terhadap gelandangan yang mempunyai masalah mental dan berpenyakit, dan sama ada kerajaan negeri merancang membuka ‘One-Stop Centre’ bagi menangani isu ini.
Anfaal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer menjelaskan, bagi negeri Selangor, JKM bertanggung jawab penuh dalam menguatkuasakan Akta Orang-Orang Papa 1977 [Akta 183] di mana peranan Jabatan adalah untuk mengambil orang papa seperti diperuntukkan dalam akta tersebut.
“Bagi mengatasi masalah orang papa dan gelandangan, JKM mengambil inisiatif dengan melaksanakan tindakan penguatkuasaan bagi mengambil orang papa melalui operasi yang dijalankan sama ada secara bersepadu, berkala dan ‘ad-hoc’ melalui aduan orang ramai.
“Sehingga Disember 2024 sejumlah 199 operasi telah dijalankan dan sejumlah 155 orang papa yang diambil iaitu melibatkan 102 warganegara dan 53 orang bukan warganegara,” katanya lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |