
Kementerian Perpaduan sokong Yayasan Sukarelawan Siswa tingkat kesedaran perpaduan global
KUALA LUMPUR – Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) terus merapatkan pembangunan belia dan rangkaian sukarelawan alumninya dengan pelbagai pertubuhan sukarelawan di peringkat global.
Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang, berkata, misi YYS yang diletakkan di bawah kementeriannya itu mampu dikembangkan dari peringkat kebangsaan ke peringkat antarabangsa.
Aaron berkata, memandangkan Malaysia menyandang jawatan Pengerusi ASEAN tahun ini dengan tema ‘Keterangkuman dan Kelestarian’, pihaknya komited untuk memupuk keamanan, kestabilan dan kemakmuran di rantau ini.
“YSS sentiasa mengambil langkah proaktif bagi memperkembangkan usaha memberikan impak sosial di peringkat antarabangsa melalui pelbagai misi kesukarelawan siswa di dalam dan luar negara termasuk di beberapa buah negara ASEAN seperti Indonesia, Laos dan Vietnam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Malam Penghargaan Rakan Kerjasama Strategik YSS di ibu negara malam tadi.
Dalam majlis yang sama, YSS telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Ho Chi Minh Youth Union dan beberapa rakan kerjasama strategik yang lain.

Mengulas lanjut, Aaron berkata, sehingga kini, YSS telah melahirkan seramai 2,067 alumni sukarelawan siswa dan telah menjayakan 73 misi kesukarelawanan berimpak tinggi serta lebih 8,000 projek komuniti yang telah memberikan manfaat kepada lebih 1 juta ahli masyarakat di dalam dan luar negara.
“Kerjasama hubungan serantau antara negara-negara anggota ASEAN juga adalah amat penting dalam usaha membangunkan Malaysia Madani berteraskan konsep harmoni dalam kepelbagaian.
“Ia seiring dengan hasrat Kementerian Perpaduan Negara bagi mewujudkan impak keberkesanan pembangunan sosial yang utuh dan pertumbuhan sosioekonomi yang mampan di peringkat nasional mahupun di peringkat antarabangsa,” tambah beliau.

Pada masa yang sama, antara rakan kerjasama strategik lain yang turut bersama dalam majlis ini adalah Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Yayasan Perkasa Siswa, Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) dan Majlis Belia Malaysia (MBM).
Selain itu, seramai 14 orang wakil organisasi sukarelawan Vietnam juga turut dijemput bagi bersama-sama dalam majlis tersebut sebelum deligasi meneruskan kunjungan diplomatik ke Singapura dan Indonesia.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |