Berita Semasa

Pelaksanaan sistem kutipan tol MLFF dibuat secara tersusun, terancang – KKR

KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) menegaskan telah mengambil langkah-langkah proaktif bagi memastikan pelaksanaan sistem kutipan tol Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) dibuat secara tersusun dan terancang.

KKR berkata, pihaknya komited untuk menjalankan penilaian terperinci bagi menangani semua aspek teknikal, operasi dan kewangan bagi memastikan peralihan kepada MLFF dapat dilaksanakan dengan berkesan demi manfaat semua pengguna jalan raya.

“Seperti yang telah dinyatakan dengan tepat oleh PAC, kajian menyeluruh mengenai MLFF adalah penting sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat.

“KKR juga akan terus bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan bagi memastikan inisiatif ini selari dengan kepentingan negara serta meningkatkan kecekapan sistem kutipan tol di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dibuat susulan syor yang dicadangkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), yang berpendapat pelaksanaan sistem MLFF tidak akan menyelesaikan kesesakan lalu lintas di lebuh raya bertol secara keseluruhannya.

PAC berkata, KKR dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) perlu melaksanakan kajian analisis kos faedah yang lebih terperinci kerana pelaksanaan MLFF membabitkan anggaran kos RM3.46 bilion.

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata pelaksanaan MLFF perlu dilaksanakan dengan kaedah terbaik dengan tiada sebarang implikasi kos kepada kerajaan dan pengguna.

Beliau berkata, selain itu KKR perlu menetapkan atau memuktamadkan hala tuju sistem MLFF dengan segera selepas perjanjian pelantikan tamat pada 16 Disember lalu.

Dalam pada itu, KKR berkata, pihaknya menerima baik syor tersebut dan bersedia meningkatkan mutu, keselamatan dan keselesaan infrastruktur jalan raya di Malaysia.

“KKR amat menghargai kajian menyeluruh dan syor yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai pelaksanaan sistem kutipan tol Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF).

“Kami berterima kasih kepada pasukan PAC atas ketekunan mereka dalam menilai perkara ini, yang amat penting bagi meningkatkan mutu, keselamatan dan keselesaan infrastruktur jalan raya dan pengangkutan negara,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button