
Kanak-kanak 10 tahun kritikal dipercayai akibat tercekik ‘gummy’ berbentuk mata
GEORGETOWN – Seorang kanak-kanak dilaporkan kritikal di Hospital Pulau Pinang (HPP) dipercayai akibat tercekik gula-gula kenyal atau ‘gummy’ berbentuk mata.
BH Online berkata, Mohamad Fahmi Hafiz Mohamad Fakhruddin, 10, dikatakan rebah di Kelas Al-Quran dan Fardhu ‘Ain (KAFA) di Sungai Dua, Butterworth kira-kira pukul 2.30 petang semalam.
Muhammad Fahmi kemudiannya dihantar ke hospital dan kini sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik, Hospital Pulau Pinang.
Menurut ibu saudaranya, Siti Farhani Mohamad Fikri, 33, keadaan Mohamad Fahmi masih tidak menunjukkan sebarang perkembangan setakat pukul 10 pagi tadi.
“Doktor beritahu sekiranya dia tidak tunjukkan maklum balas sehingga Jumaat ini, semua ubat akan dihentikan.
“Kami berserah kepada Allah SWT dan menyerahkan urusan rawatan kepada pihak hospital,” katanya dalam laporan tersebut, hari ini.
Difahamkan, pelajar berusia 10 tahun itu membeli gula-gula berkenaan di gerai di luar kawasan sekolah.
Menurut hantaran Siti Farhani di Facebook semalam, guru memaklumkan anak saudaranya tersedak sebelum mahu ke tandas.
Ketika berjalan ke tandas, kanak-kanak itu terjatuh dan tidak sedarkan diri sebelum guru menghubungi ambulans.
“Guru ada buat panggilan video dengan pasukan perubatan yang meminta beliau memeriksa mulut Mohamad Fahmi sebelum menemukan gula-gula terbabit dalam tekak kanak-kanak itu.
“Ketika menerima pakaian Mohamad Fahmi dari pihak hospital, kami dapati sebiji lagi gula-gula itu dalam poket bajunya,” katanya lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |
One Comment