Berita Semasa

Kadar kebolehpasaran graduan TVET 94.5 peratus – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR – Kadar kebolehpasaran graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam negara secara purata kini mencecah 94.5 peratus.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, angka ini menunjukkan keperluan tenaga mahir dalam industri kerja negara terus meningkat.

“Menerusi segala langkah pemantapan TVET yang dilaksanakan Majlis TVET Negara (MTVETN), sikap serta pemikiran (sentimen) ibu bapa serta pelajar sudah bertukar dan semakin mempercayai bidang TVET.

“Kerajaan komited dan menekankan pemodenan terutama dalam pendigitalisasi TVET dengan meningkatkan infrastruktur digital, teknologi pembelajaran menggunakan kecerdasan buatan (AI) dan Internet pelbagai benda (IOT) serta program lain termasuk memperluas latihan profesional kepada tenaga pengajar,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika sesi penggulungan perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi MTVETN berkata, jumlah pelajar menyertai bidang TVET pada tahun lepas juga meningkat kepada lebih 423,000 peserta berbanding 407,000 pada 2023.

Ahmad Zahid kemudiannya berkata, berpandukan Dasar TVET Negara, kerajaan melaksanakan usaha pemantapan institusi dan kurikulum berasaskan keperluan industri, meningkatkan kemahiran tenaga pengajar, penglibatan industri bagi pelaksanaan latihan dan pemodenan alat bantuan mengajar bagi memastikan graduan TVET kekal kompetitif dalam pasaran kerja.

Selaras usaha itu, katanya Kod Amalan Akreditasi Program TVET (COPTPA) turut diwujudkan sebagai garis panduan bagi memastikan kursus TVET yang ditawarkan menepati piawaian dan keperluan industri.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button