
Oleh PROF MADYA DR. KHAIRUNNEEZAM MOHD NOOR & DR. KALSOM ALI
PERKEMBANGAN pesat ekonomi telah membawa kemakmuran, namun ia juga mendedahkan jurang kemahiran tenaga sumber manusia yang semakin membesar.
Sistem pendidikan negara, walaupun memiliki kelebihan tersendiri, dibuktikan melalui kajian ilmiah dan perdebatan para sarjana, mendapati masih belum sepenuhnya memenuhi keperluan industri.
Ketidaksepadanan ini menyebabkan ramai graduan berdepan kesukaran mendapatkan pekerjaan yang sesuai sekali gus menjejaskan pembangunan tenaga kerja dan kemajuan negara secara keseluruhan.
Isu ini memerlukan perhatian serius serta pendekatan menyeluruh bagi memastikan sistem pendidikan lebih responsif terhadap keperluan pasaran kerja yang kian berubah.

Laporan Future of Jobs oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF) menegaskan bahawa perubahan teknologi seperti automasi dan kecerdasan buatan mengubah landskap pekerjaan secara drastik.
Malaysia tidak terkecuali dalam fenomena ini, di mana sektor seperti pembuatan, teknologi, perkhidmatan dan pertanian semakin menuntut kemahiran baru.
Kajian oleh Institut Penyelidikan Khazanah pasca Covid-19 mendapati terdapat jurang yang ketara antara kemahiran graduan dan keperluan industri, terutamanya dalam sektor yang berkembang pesat.
Kelemahan dalam aspek kemahiran praktikal, celik digital dan pemikiran kritikal menjadi antara faktor utama yang menyukarkan kebolehpasaran graduan.
Fenomena ini bukan sahaja memberi kesan kepada prospek kerjaya individu, malah turut menjejaskan daya saing negara dalam ekonomi global.
Dari perspektif ekonomi, ketidaksepadanan kemahiran mengakibatkan produktiviti yang rendah serta memperlahankan pertumbuhan ekonomi.
Organisasi pekerjaan sukar mendapatkan tenaga kerja yang memenuhi kehendak industri, menyebabkan projek tertangguh dan inovasi terbantut.

Keadaan ini boleh menjejaskan keyakinan pelabur asing dan mengehadkan daya saing Malaysia di persada antarabangsa.
Dari sudut sosial, ramai graduan terpaksa bekerja dalam bidang yang tidak sejajar dengan kelayakan ikhtisas mereka, menyebabkan rasa kecewa dan ketidakstabilan sosial dalam kalangan mereka.
Situasi ini memerlukan pendekatan menyeluruh, termasuk pembaharuan dalam kurikulum pendidikan dan penekanan terhadap pembelajaran sepanjang hayat.
Sebagai solusi, kerjasama lebih erat antara sektor industri dan institusi akademik perlu diperkukuh.
Institusi pengajian tinggi harus melibatkan industri dalam merangka kurikulum agar ia selaras dengan keperluan pasaran kerja.
Latihan industri dan program perantisan perlu diperluaskan bagi memberi pendedahan kepada pelajar sebelum mereka melangkah ke alam pekerjaan.
Selain itu, inisiatif pembelajaran sepanjang hayat seperti program ‘SkillsMalaysia’ yang diselaraskan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), perlu dipertingkatkan bagi membantu pekerja memperoleh kemahiran baharu dan menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi.
Pendidikan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) juga perlu diperkasa bagi memastikan Malaysia tidak ketinggalan dalam bidang berteknologi tinggi.
Keusahawanan dan inovasi harus dijadikan teras dalam sistem pendidikan bagi melahirkan graduan yang mampu mencipta peluang pekerjaan sendiri.

Di samping itu, bimbingan kerjaya serta latihan kemahiran insaniah seperti komunikasi dan penyelesaian masalah perlu diperhebatkan agar graduan lebih bersedia untuk bersaing dalam pasaran kerja yang mencabar.
Dalam menangani isu ini, Islam turut menekankan kepentingan ilmu dan kemahiran dalam kehidupan.
Firman Allah SWT dalam surah Al-Mujadalah, ayat 11 yang bermaksud: “Allah akan meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu beberapa darjat.”
Ayat ini menegaskan bahawa ilmu memainkan peranan penting dalam pembangunan individu dan masyarakat.
Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seseorang meninggal dunia, terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang mendoakannya.” (Hadis Riwayat Muslim)
Hadis ini mengingatkan bahawa ilmu yang bermanfaat bukan sahaja memberi kebaikan kepada individu, malah berperanan dalam membangunkan masyarakat dan negara.
Oleh itu, sistem pendidikan perlu sentiasa relevan dengan keperluan semasa agar ia benar-benar memberi manfaat kepada generasi akan datang.
Menangani cabaran ketidaksepadanan kemahiran memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, institusi pendidikan, sektor industri dan individu.
Komitmen jangka panjang dalam memperkukuh sistem pendidikan dan latihan kemahiran adalah kunci kepada pembangunan negara yang mampan.
Dengan usaha yang bersepadu, kita dapat memastikan generasi muda Malaysia bukan sahaja berdaya saing tetapi turut menyumbang kepada kemajuan ekonomi negara secara menyeluruh.
* Penulis merupakan Pensyarah Kanan, Program Dakwah dan Pengurusan Islam, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia.


Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendapat Malaysia Tribune.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |