Berita Semasa

Tubuh jawatankuasa khas siasat e-waste – Charles Santiago

SHAH ALAM – Kerajaan perlu menubuhkan satu jawatankuasa siasatan khas berkaitan sisa terjadual atau sampah elektronik (e-waste) perlu ditubuhkan bagi membanteras sebarang kegiatan haram atau campur tangan jahat berkaitan aktiviti berkenaan.

Bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Anthony Santiago berkata, langkah ini juga perlu dibuat kerana rakyat mahu tahu adakah isu ini berkait dengan beberapa badan kerajaan seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Alam Sekitar (JAS), majlis berkenaan dan juga pihak polis.

“Pihak kerajaan juga mesti membuat satu dasar, adakah Malaysia akan terus ambil sisa-sisa yang tak perlu dari luar negara untuk masuk ke negara kita.

“Saya juga mahu persoalkan, bagaimana bahan e-waste ini boleh lepas melalui kastam? Adakah pemantauan rapi dibuat ataupun mungkin mereka tak tahu apa yang masuk,” katanya dalam laporan SH Online, hari ini.

Charles turut mempersoalkan punca datangnya e-waste atau sisa berjadual tersebut dan siapakah yang mendalangi ‘perniagaan’ ataupun jenayah tersebut.

“Contohnya jika bahan ini ditolak dari China dan Australia, apakah kaedah untuk mereka bawa ke Malaysia, adakah bahan itu beri kesan kepada alam sekitar, adakah mereka dapat persetujuan daripada majlis berkenaan, adakah ia dimasukkan ke negara kita secara sah serta sebagainya,” katanya.

Mengulas lanjut, Charles berkata, plastik yang diproses daripada bahan buangan tersebut mampu menghasilkan minyak dan kemudian akan dihantar ke negara seperti China serta Australia.

“Oleh sebab mereka tidak mahu buat di negara mereka kerana pencemaran, jadi mereka masukkan ke Malaysia. Di sinilah persoalannya muncul, bagaimana pihak bertanggungjawab boleh memberikan kelulusan untuk membawa masuk ke dalam negara?

“Berkenaan sisa ini pula, adakah ia terus dilepaskan ke dalam longkang atau sungai? Atau pun ada pihak ketiga yang menguruskan sisa itu. Semua orang belum tahu sisa ini datang dari mana.

“Isu ini bukan isu baharu, sudah lima tahun dan yang akan jadi mangsa sungai kita, bahan minum, makanan. Jadi kerajaan perlu kawal ini secara rapi, kena ada pemantau yang tegas,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button