Berita Semasa

TLDM perkukuh kerjasama maritim melalui Exercise KOMODO 2025

BALI – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terus memperkukuh kerjasama pertahanan maritim dengan menyertai Multilateral Naval Exercise KOMODO Siri 5 Tahun 2025 (MNEK 5/25) yang berlangsung dari 15 hingga 22 Februari 2025, di sini.

Eksesais dwitahunan itu dianjurkan oleh Tentera Nasional Indonesia – Angkatan Laut (TNI-AL) dengan penyertaan 39 negara, bertemakan Kerjasama Maritim Demi Keamanan dan Kestabilan.

Menurut kenyataan Markas Pemerintahan Armada Timur di Kota Kinabalu, Sabah, TLDM menghantar dua kapal iaitu KD KELANTAN dan KD SELANGOR dalam penyertaan itu dalam usaha mengukuhkan hubungan antarabangsa serta meningkatkan kerjasama keselamatan maritim di peringkat global.

Penyertaan TLDM dalam MNEK 5/25 merupakan platform penting untuk memastikan kesiapsiagaan angkatan laut negara sentiasa berada di tahap terbaik.

Penyertaan itu membolehkan TLDM terlibat dalam pelbagai aktiviti latihan seperti Field Training Exercise (FTX), International Fleet Review (IFR), Simposium Keselamatan Maritim Antarabangsa serta program pembangunan kemasyarakatan seperti Engineering Civic Action Programme (ENCAP) dan Medical Civic Action Programme (MEDCAP).

Majlis perasmian eksesais disempurnakan oleh Kepala Staf Angkatan Laut (KASAL) Laksamana TNI Dr. Muhammad Ali di Tanjung Benoa.

Ketua Delegasi TLDM, Laksamana Madya Datuk Khir Junaidi Idris yang juga Panglima Armada Timur turut hadir dalam majlis tersebut.

Sebagai sebahagian daripada program eksesais, KASAL dan delegasi dari negara peserta turut menyertai pelayaran bersama KRI DR. RADJIMAN WEDYODININGRAT untuk menyaksikan International Fleet Review yang melibatkan 37 kapal termasuk KD KELANTAN dan KD SELANGOR.

Selain itu, dalam sesi Mesyuarat Bilateral, Khir Junaidi mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin tentera laut dari Indonesia, Brunei, New Zealand dan Australia serta ketua delegasi dari Rusia, Sepanyol dan Bangladesh.

Perbincangan tertumpu kepada kerjasama pertahanan maritim sedia ada serta strategi masa depan dalam memperkukuhkan hubungan antara negara-negara peserta.

Penyertaan Malaysia dalam eksesais multilateral seperti MNEK bukan sahaja memperkukuh hubungan strategik antara negara, malah turut meningkatkan keupayaan TLDM dalam menangani cabaran keselamatan maritim dan pengurusan bantuan kemanusiaan serta bencana (HADR).

Ia juga berperanan dalam membina Confidence Building Measure dan meningkatkan kesiapsiagaan TLDM dalam menghadapi ancaman seperti keganasan, penyeludupan, perompakan dan cabaran keselamatan maritim lain yang boleh mengganggu kestabilan serantau.

Secara keseluruhannya, penyertaan TLDM dalam MNEK 5/25 merupakan platform penting untuk memastikan kesiapsiagaan angkatan laut negara sentiasa berada di tahap terbaik.

Ia turut mencerminkan komitmen Malaysia dalam usaha mengekalkan kestabilan dan keselamatan maritim di rantau ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button