
Sultan Selangor titah ADUN fokus perkara penting, jangan besarkan perkara remeh
SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah supaya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini memberi tumpuan kepada perkara-perkara penting untuk masa depan negeri dan rakyat.
Baginda bertitah agar ADUN menghindari sebarang tindakan kurang sopan atau membesarkan perkara yang remeh, lebih-lebih lagi rakyat sentiasa memerhati dan menilai setiap tingkah laku wakil rakyat yang dipilih.
“Sidang DUN Selangor harus berlangsung dengan penuh berhemah dan bukannya menjadi medan untuk menabur fitnah, caci-mencaci dan berperangai tidak senonoh.
“Rakyat sentiasa memerhati dan menilai setiap tingkah laku wakil rakyat yang mereka pilih. Beta mengucapkan selamat bersidang kepada semua Ahli DUN Selangor,” titah baginda.
Baginda bertitah sempena Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Ketiga DUN Selangor ke-15 tahun 2025 di Dewan Negeri Selangor hari ini.
Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin tiba di Dataran Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor pada jam 9.15 pagi tadi.
Berangkat sama, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah yang turut disambut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Sultan Selangor turut berkenan memeriksa kawalan kehormatan utama sebelum bergerak ke Dewan Negeri Selangor bagi Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Ketiga DUN Selangor ke-15 tahun 2025.
Persidangan DUN Selangor dijadualkan berlangsung bermula hari ini hingga 21 Februari, 24 hingga 28 Februari serta 3 Mac 2025.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |