
Stesen TV langgar garis panduan akan dikenakan tindakan tegas – Fahmi
KUALA LUMPUR – Mana-mana stesen televisyen yang melanggar sebarang garis panduan ditetapkan akan dikenakan tindakan tegas.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, keingkaran mematuhi garis panduan dan syarat-syarat lesen ditetapkan boleh mendatangkan kesan kepada pihak yang terlibat.
“Saya memberi jaminan bahawa pihak kerajaan akan mengambil tindakan yang tegas,” katanya ketika diminta mengulas isu penonton lelaki dilihat berpakaian seumpama wanita sewaktu menghadiri satu acara anugerah, Ahad lepas.
Fahmi yang ditemui dalam satu sidang akhbar turut berkata, beliau kecewa dengan perkara tersebut kerana pihak stesen televisyen berkenaan sudah sedia maklum mengenai semua garis panduan yang terpakai.
“Seharusnya pihak Media Prima lebih bertanggungjawab. Saya amat kecewa dengan mereka yang menguruskan AJL (Anugerah Juara Lagu). Perkara ini tidak sepatutnya berlaku. Mereka tahu, dan mereka membenarkannya, ini tidak baik,” katanya lagi.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee memaklumkan pihaknya akan segera mengambil tindakan berhubung isu berkenaan.
Beliau dalam satu kenyataan semalam berkata, JAKIM akan memanggil pihak berkaitan untuk mendapatkan penjelasan lanjut dan mengadakan sesi perbincangan secara tertutup bagi memberikan nasihat dan bimbingan.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |