AgamaBerita Semasa

Perbuatan lelaki menyerupai wanita suatu bentuk penyimpangan perlu dihentikan – YADIM

PUTRAJAYA – Lelaki berpakaian wanita dan sebaliknya akan merosakkan fitrah, menghakis nilai moral dan membuka jalan kepada normalisasi penyimpangan yang boleh menghancurkan generasi akan datang, kata Prof. Madya Dr. Adi Anuar Azmin @ Che Wan.

Menurut Timbalan Yang di-Pertua Yayasan Dakwah Islamiah (YADIM) itu, tindakan sekumpulan lelaki yang berpakaian seperti wanita dalam sebuah majlis anugerah hiburan baru-baru ini mampu memberi kesan langsung terhadap keharmonian sosial dalam kalangan rakyat Malaysia

Tegasnya, kebebasan berfesyen dan berekspresi dalam seni dan hiburan adalah hak individu, namun ia harus dilakukan dengan penuh tanggungjawab, mengambil kira sensitiviti masyarakat dan kesan jangka panjang terhadap generasi muda.

“Apabila batasan sosial dan agama diabaikan atas alasan kebebasan dan hiburan, ia berisiko menimbulkan kekeliruan, merosakkan struktur sosial, dan menghancurkan nilai perpaduan yang telah terbina.

“Anak muda merupakan tonggak utama dalam membentuk masa depan negara. Mereka harus dibekalkan dengan pendidikan yang holistik, yang menekankan bukan hanya ilmu pengetahuan tetapi juga nilai-nilai moral dan etika yang kuat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, video dan gambar penyertaan tetamu lelaki yang berpakaian wanita semasa Anugerah Juara Lagu ke-39 di Kuala Lumpur, kelmarin mendapat reaksi yang tidak menyenangkan daripada rakyat Malaysia.

Susulan itu, stesen televisyen swasta, TV3 menyatakan kekesalan dan memohon maaf susulan inisiden itu dan menyatakan komitmennya untuk mematuhi undang-undang dan garis panduan yang ditetapkan.

Mengulas lanjut, Dr. Adi Anuar berkata, YADIM menegaskan bahawa setiap tindakan dalam masyarakat haruslah berlandaskan prinsip-prinsip moral yang luhur dan ini termasuk dalam dunia hiburan dan seni.

Beliau berkata, para penggiat seni termasuk artis, perlu lebih peka terhadap impak sosial yang boleh timbul daripada ekspresi seni mereka.

“Kebebasan dalam berkarya adalah hak asasi, tetapi hak ini harus dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan tanpa melanggar prinsip moral dan agama yang menjadi teras kepada masyarakat kita.

“Justeru tindakan lelaki menyerupai wanita ini, daripada perspektif ajaran Islam dan tatasusila budaya kita, adalah suatu bentuk penyimpangan yang perlu dihentikan,” katanya.

Tambah Dr. Adi Anuar, sebagai sebuah negara yang menjunjung tinggi nilai-nilai agama, kesopanan dan keharmonian sosial, kita wajib menjaga batasan yang telah ditetapkan oleh agama dan norma budaya.

“Islam jelas mengajar bahawa setiap individu, tanpa mengira jantina, perlu menjaga kehormatan diri melalui cara berpakaian yang sesuai dengan syariat. Pakaian bukan hanya sekadar penampilan luaran, tetapi juga simbol peribadi, integriti, dan kesopanan,” ujarnya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button