
Pembangunan semula Carcosa Seri Negara siap Julai ini
KUALA LUMPUR – Pembangunan semula Carcosa Seri Negara di Bukit Perdana di sini dijangka siap pada Julai tahun ini, menjadikannya satu lagi projek flagship dalam pemuliharaan warisan di Kuala Lumpur.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, projek kerjasama antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Khazanah Nasional itu merupakan usaha menghidupkan kembali sejarah serta memastikan warisan terus dihargai.
Menurut Dr. Zaliha, fasa pertama pembangunan melibatkan pemuliharaan Seri Negara sebagai Muzium dan Galeri Seni.
Manakala fasa kedua pula menyaksikan pembangunan Hotel Lindungan-Eko yang menggabungkan hospitaliti bertaraf dunia dengan kelestarian alam.
“Usai urusan di Parlimen, saya turun padang meninjau tapak pembangunan semula Carcosa Seri Negara sebagai sebahagian daripada Kuala Lumpur Creative and Cultural District (KLCCD).
“Insya-Allah, pembangunan semula ini akan siap pada Julai tahun ini dan kami merancang untuk mengadakan program khas seperti Hi-Tea bagi memperkenalkan Heritage Malaysia kepada delegasi luar negara,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau.
Hadir sama Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Tun Azizan dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif.

Zaliha berkata, usaha itu selaras dengan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL2040) dan persiapan menghadapi ASEAN – Malaysia 2025.
“Kerajaan komited menjadikan Kuala Lumpur bukan sekadar bandar raya moden, tetapi kota beridentiti yang kaya dengan sejarah dan budaya,” katanya.
Carcosa dibina pada tahun 1896 sebagai kediaman rasmi Residen Jeneral British, Sir Frank Swettenham yang merupakan pegawai pentadbir pertama Negeri-Negeri Melayu Bersekutu.
Bangunan ini direka dengan gaya seni bina kolonial klasik dan dikelilingi taman indah yang menghadap Tasik Perdana.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |