
Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia 2025-2035 dibentang ke Kabinet dalam masa terdekat – Zambry
KUALA LUMPUR – Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPTM) 2025-2035 akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.
Menurut Zambry, kementeriannya kini dalam proses akhir untuk memuktamadkan dokumen tersebut bagi menggantikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) atau PPPM (PT) 2015-2025 yang akan tamat tempohnya tahun ini.
Beliau berkata, pembangunan pelan yang baharu penting kerana dunia pendidikan tinggi sentiasa berubah dengan pesat, terutamanya dalam konteks globalisasi dan perkembangan teknologi.
“PPTM 2025-2035 adalah dokumen rujukan penting bagi mencorakkan hala tuju pendidikan tinggi negara untuk dekad mendatang agar selari dengan aspirasi nasional dan perubahan landskap global.
“PPTM ini dirancang secara komprehensif untuk memenuhi keperluan negara, industri, dan komuniti serta memastikan pendidikan tinggi di Malaysia dapat berkembang maju dan beradaptasi dengan tuntutan masa hadapan.
“Pembangunan PPTM dimulakan pada Mei 2024 dan didukung oleh 40 orang ahli Kumpulan Pakar yang berpengalaman daripada pelbagai bidang di dalam dan luar ekosistem pendidikan tinggi,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Kesavan Subramaniam (PH-Sungai Siput) yang meminta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan pendekatan yang digunakan oleh kementerian dalam membangunkan PPTM 2026-2035, terutamanya untuk pembangunan modal insan serta peningkatan daya saing.
Zambry menambah, sesi libat urus PPTM dijalankan secara menyeluruh dengan membabitkan semua pemegang taruh ekosistem pendidikan tinggi.
“Pihak yang terbabit adalah seperti kementerian, kerajaan negeri, agensi kerajaan, kakitangan akademik dan bukan akademik, persatuan akademik, pelajar, majlis perwakilan pelajar, pengurusan institusi pendidikan tinggi, badan profesional, syarikat berkaitan kerajaan, yayasan, perusahaan kecil dan sederhana, persatuan industri, alumni dan badan bukan kerajaan,” katanya.
Selain itu, katanya, kemajuan pembangunan PPTM juga dipantau dua jawatankuasa utama, iaitu Jawatankuasa Penasihat yang dipengerusikan olehnya dan Jawatankuasa Pemandu yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi.
Beliau berkata, sepanjang tempoh penggubalan PPTM, pelbagai gerak kerja termasuk sesi libat urus dan proses pengumpulan data bersama pemegang taruh dilaksanakan dengan sewajarnya.
“Sesi libat urus ini dilaksanakan melalui dua pendekatan, iaitu pra pembangunan pelan untuk mendapatkan input awal, dan pasca pembangunan pelan bagi membuat pengesahsahih terhadap draf pelan yang telah dibangunkan.
“Semua sesi ini dilaksanakan melalui pelbagai kaedah seperti mesyuarat, perbincangan kumpulan fokus, bengkel, seminar dan soal selidik.
“Sehingga 31 Disember 2024, KPT melaksanakan 35 sesi libat urus membabitkan lebih 6,410 pemegang taruh daripada pelbagai kelompok dalam dan luar ekosistem pendidikan tinggi, manakala lebih 1,816 orang telah memberikan maklum balas melalui tinjauan nasional yang dilaksanakan, sekaligus menjadikan 8,226 orang pemegang taruh dilibatkan dalam pembangunan PPTM.
“Objektif utamanya adalah untuk mengenal pasti isu dan cabaran daripada pelbagai perspektif dalam pendidikan tinggi,” katanya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |