
LHDN lancar OP Metro 2.0, perketat pematuhan cukai
PETALING JAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) memperkukuh usaha menangani ketidakpatuhan cukai menerusi OP Metro 2.0, yang berlangsung selama lima hari bermula hari ini hingga 21 Februari.
Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin berkata, operasi itu melibatkan 688 pegawai dengan 943 kes yang memberi tumpuan kepada audit, pungutan, siasatan dan pematuhan strategik terhadap pembayar cukai di Lembah Klang.
Menurutnya, OP Metro 2.0 menyasarkan syarikat yang melaporkan pendapatan di bawah margin industri, belum pernah diaudit, serta mereka yang menuntut insentif cukai bagi memastikan tuntutan dibuat mengikut garis panduan.
“Kami menghargai kerjasama strategik dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam operasi itu bagi memperluaskan asas cukai negara serta mengurangkan ketirisan hasil yang merugikan ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Turut hadir dalam majlis pelancaran operasi ialah Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri), Puan Norlela Ismail dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan) LHDN, Datuk Hisham Rusli.
LHDN menegaskan setiap tindakan yang diambil dalam operasi itu adalah berlandaskan undang-undang yang berkuat kuasa.
Kerjasama strategik antara LHDN dan JKDM diharap dapat meningkatkan kesedaran serta pematuhan cukai dalam kalangan masyarakat, sekali gus meningkatkan pendapatan negara.
Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Hasil Contact Centre (HCC) di talian 03-8911 1000 atau melalui portal rasmi LHDN di https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/Public.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |