Berita Semasa

KPM tumpu intervensi awal bagi pelajar berisiko tercicir SPM

KUALA LUMPUR – Dalam usaha mengatasi keciciran pelajar dalam menduduki SPM, Kementerian Pendidikan (KPM) telah melaksanakan pelbagai langkah intervensi, termasuk program Anak Kita dengan kerjasama Kementerian Kewangan (MoF).

Menurut Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, bagi pelaksanaan program tersebut pada tahun ini, sebanyak 22,000 calon SPM terpilih untuk menerima kit peranti bagi memastikan mereka dapat menghadiri peperiksaan.

“Bagi program ini, peruntukan sebanyak RM100 juta telah disediakan tahun lalu, manakala RM30 juta diperuntukkan tahun ini dengan fokus utama pada pengendalian calon SPM,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut, Kah Woh berkata, KPM juga memantau kehadiran pelajar melalui Sistem Kehadiran Murid (eKehadiran) dalam Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM).

Selain itu, katanya, Pasukan Petugas Intervensi Murid Berisiko Cicir SPM telah diaktifkan di semua peringkat untuk memantau status murid berisiko melalui papan pemuka, serta mengadakan Dialog Prestasi Nasional untuk membincangkan isu kehadiran calon SPM.

“Pelbagai aktiviti berfokus turut dilaksanakan, termasuk Program Ziarah Cakna, sesi konsultasi ibu bapa, serta penglibatan Persatuan Ibu Bapa Guru dan komuniti.

Pengesanan awal bagi murid berisiko cicir dalam kalangan murid Tingkatan Empat turut dijalankan bagi memastikan mereka hadir untuk menduduki peperiksaan SPM,” katanya.

Sementara itu, Kah Woh berkata, KPM juga mengenal pasti beberapa faktor penyebab ketidakhadiran calon SPM, antaranya masalah pekerjaan, keluarga, kesihatan, bencana, perpindahan ke luar negara dan berhenti sekolah.

Dalam perkembangan lain, Kah Woh memaklumkan tiada sebarang keputusan dimuktamadkan kerajaan berhubung pengambilalihan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terhadap Kolej Matrikulasi dan Kolej Tingkatan Enam daripada KPM.

Justeru, Kah Woh, berkata, atas dasar itu, Kolej Matrikulasi dan Kolej Tingkatan Enam masih kekal bersama KPM.

“Setakat ini, tiada apa-apa rancangan atau keputusan yang dimuktamadkan justeru pada masa kini Kolej Matrikulasi dan Kolej Tingkatan Enam masih kekal bersama KPM,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Zakri Hassan (PN-Kangar) yang mahu tahu sama ada kolej matrikulasi dan kolej tingkatan enam yang menjadi institusi penting lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diletakkan di bawah KPT.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button