Berita Semasa

KPKT cadang perintah khidmat masyarakat sehingga 12 jam bagi kesalahan pembuangan sampah

KUALA LUMPUR — Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bercadang untuk melaksanakan perintah khidmat masyarakat sehingga 12 jam bagi kesalahan pembuangan sampah kecil.

Menterinya , Nga Kor Ming berkata, cadangan itu boleh dilaksanakan menerusi pindaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).

Beliau berkata, menerusi pindaan tersebut, sekiranya gagal mematuhi perintah khidmat masyarakat, mereka yang disabitkan boleh dikenakan denda RM2,000 hingga RM10,000.

Jelas beliau, punca kuasa sedia ada di bawah akta yang berkaitan hanya memberi peruntukan denda RM500 hingga RM2,000 atau penjara setahun.

“Ativiti pembersihan yang akan dilaksanakan di bawah perintah khidmat masyarakat ini merupakan sumbangan balik pesalah kepada alam sekitar yang dapat memberikan manfaat dan seterusnya menyokong hasrat kerajaan dalam mewujudkan negara yang lebih bersih, indah dan sejahtera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan yang sama, KPKT memaklumkan sempena World Cleanup Day, KPKT telah mencatat kutipan sampah sebanyak 6,417.7 tan, manakala 127.6 kg plastik dikutip dalam masa 12 jam melalui program Hari Cuci Malaysia di Kuala Lumpur.

Pelaksanaan perintah khidmat masyarakat ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran serta mendidik masyarakat supaya peka terhadap kebersihan dan tidak membuang sampah kecil di kawasan awam dengan sewenang-wenangnya.

KPKT turut mengadakan sesi taklimat khas mengenai cadangan tersebut kepada Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini untuk memberi penerangan mengenai pindaan dan penggubalan akta yang dicadangkan serta implikasinya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button