
Inspirasi Wanita: Laili terus berbakti di usia emas
PADA usia mencecah 66 tahun, Laili Ismail tidak pernah menunjukkan tanda-tanda untuk memperlahankan langkahnya dalam membantu masyarakat.
Sebagai Naib Yang Dipertua Pertubuhan Tindakan Wanita Islam (Pertiwi), beliau terus gigih mencurahkan tenaga dan masa demi kesejahteraan golongan yang memerlukan.

Berjiwa pendidik, Laili pernah berkhidmat sebagai pensyarah dalam bidang Perakaunan dan Matematik di beberapa buah universiti.
Antaranya ialah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
“Kemudian pada tahun 1995, saya ambil keputusan untuk berhenti dan menumpukan perhatian kepada perniagaan keluarga.
“Lima tahun selepas itu, saya ada buka sekolah swasta sebagai alternatif untuk ibu bapa yang mahu mendapatkan pendidikan anak-anak dalam aliran English, antarabangsa dan Islamik,” ujar Laili ketika ditemui Malaysia Tribune.

Hingga kini, Sekolah Islam Adni di Ampang, Sekolah Integrasi Islamik Shah Alam dan Sekolah Antarabangsa Adni di Bangi, Selangor terus kekal beroperasi sebagai alternatif dalam pendidikan arus perdana.
Dalam dunia kebajikan, perjalanan Laili semakin aktif bermula pada tahun 2020, ketika pandemik Covid-19 melanda Malaysia dan dunia.
“Kekangan pergerakan pada ketika itu menyebabkan ramai sukarelawan biasa tidak dapat turun padang. Situasi ini mendorong saya untuk mengisi kekosongan tersebut.

“Alhamdulillah, saya seronok berada di lapangan membantu golongan yang memerlukan,” jelas beliau.
Ujar beliau, sejak itu, Pertiwi menjadi sebahagian besar daripada kehidupannya.
Laili bertanggungjawab dalam menyelaras bantuan, mengurus sukarelawan dan berhubung dengan penaja serta pelbagai pihak berkaitan.
“Bukan sekadar bantuan makanan, Pertiwi juga menitikberatkan pendidikan anak-anak daripada golongan B40 serta kesihatan komuniti yang memerlukan.
“Sebagai contoh, kami turut menyediakan perkhidmatan klinik bergerak Pertiwi Health Services yang beroperasi setiap hari Ahad.
“Ada orang yang akan datang membeli ubat dan ada doktor yang menjaganya,” tambah Laili.

Dengan sokongan doktor sukarelawan dan kakitangan daripada klinik doktor yang terlibat, perkhidmatan ini menyediakan ubat-ubatan dan rawatan asas kepada mereka yang kurang berkemampuan.
Satu yang pasti, keterlibatan Laili dalam Pertiwi bukanlah sesuatu yang baharu.
Ini kerana sejak berusia 7 tahun, beliau telah didedahkan dengan pertubuhan itu kerana salah seorang pengasas Pertiwi merupakan bapa saudara dan isterinya.
“Pertiwi sudah berusia 58 tahun sejak ditubuhkan pada 1967. Jadi, saya sudah terdedah dengan pertubuhan ini sejak kecil.
“Mewarisi nilai dan semangat yang sama, saya rasa bertanggungjawab untuk memastikan kesinambungan perjuangan Pertiwi.
“Malah, saya juga berharap agar pendedahan kepada anak cucu juga akan mendapat sentimen serupa,” tegasnya.

Selain terlibat dengan kerja-kerja kebajikan Pertiwi, Laili juga aktif dalam program korban di luar negara.
Beliau turut membuka peluang kepada pelajar sekolah swasta kendaliannya melibatkan diri untuk memahami realiti kehidupan masyarakat yang kurang bernasib baik.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, beliau telah mengadakan program korban di Pulau Mabul, selatan Thailand dan di Phuket.
Semuanya dengan matlamat mendidik generasi muda tentang kepentingan memberi dan berbakti kepada masyarakat.
Walaupun sibuk dengan pelbagai tanggungjawab, keluarga tetap menjadi keutamaan bagi Laili.

Anak-anaknya yang kini sudah dewasa memahami kesibukan beliau dan turut serta dalam aktiviti kebajikan, sama ada dengan mengajar mengaji atau membantu mengedarkan makanan kepada golongan memerlukan.
Ketika ramai seusianya memilih untuk berehat dan menikmati masa lapang, Laili sebaliknya terus mengorbankan masa dan tenaga demi kepentingan masyarakat.
Baginya, semua orang mampu memberi, walaupun hanya dengan sedikit sumbangan.
Bahkan, ada dalam kalangan gelandangan yang berjaya mendapatkan pekerjaan kemudiannya menyumbang kembali kepada program Pertiwi.

“Dalam hidup ini, kita tidak boleh hanya menerima. Semua orang boleh memberi, walaupun sekadar sepuluh sen,” kata Laili mencerminkan falsafah hidupnya yang penuh ketulusan.
Kesungguhan dan keikhlasan Laili adalah bukti bahawa usia bukanlah penghalang untuk terus berbakti.
Beliau bukan sahaja menjadi inspirasi kepada wanita, tetapi juga kepada sesiapa sahaja yang ingin menyumbang kepada masyarakat dengan penuh keikhlasan.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |