Agama

Hukum berpuasa selepas 15 Syaaban

BARU-BARU ini kita sudah pun memasuki Nisfu Syaaban iaitu pertengahan bulan Syaaban.

Ini bermakna Ramadan yang penuh dengan keberkatan dan kemuliaan sudah semakin menghampiri.

Sepanjang bulan Syaaban ini, pastinya ramai umat Islam yang mahu merebut ganjaran untuk melakukan amal kebaikan seperti berpuasa sunat dan bersedekah secara istiqamah.

Bagaimanapun, tahukah kita bahawa terdapat larangan untuk berpuasa selepas masuknya pertengahan Syaaban.

Ustazah Asma berkongsi beberapa golongan yang dibenarkan berpuasa selepas pertengahan bulan Syaaban.

Dalam satu perkongsian di Facebook, Ustazah Asma Harun menjelaskan hukum berkaitan puasa selepas Nisfu Syaaban.

Beliau membawakan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA. Sabda Rasulullah SAW: “Apabila tiba pertengahan bulan Syaaban, maka janganlah kalian berpuasa.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

“Hadis ini memberi penjelasan bahawa umat Islam tidak dibenarkan berpuasa selepas 15 Syaaban, kecuali jika ada keperluan tertentu.

“Namun, ada beberapa golongan yang dibenarkan untuk berpuasa selepas pertengahan bulan Syaaban. Mereka ialah individu yang perlu berpuasa wajib seperti qada’ (ganti puasa), menunaikan kaffarah atau puasa nazar.

Poster menunjukkan golongan yang dibolehkan dan diharamkan berpuasa selepas Nisfu Syaaban.

“Golongan kedua pula ialah mereka yang telah membiasakan diri dengan puasa sunat seperti puasa Isnin Khamis.

“Manakala golongan ketiga terdiri daripada seseorang yang baru mula berpuasa pada 15 Syaaban. Maknanya, individu yang tidak pernah berpuasa tetapi mula berpuasa pada pertengahan Syaaban, maka mereka dibenarkan untuk meneruskan puasa sehingga masuknya Ramadan,” jelas Ustazah Asma.

Tambah beliau, hikmah di sebalik larangan tersebut adalah untuk memberi ruang kepada umat Islam mempersiapkan diri menyambut Ramadan.

“Dengan tidak berpuasa pada akhir Syaaban, umat Islam dapat memberi perhatian sepenuhnya kepada persiapan rohani dan fizikal sebelum menempuh bulan yang wajib berpuasa sebulan penuh,” katanya.

Kesimpulannya, berpuasa selepas 15 Syaaban dibolehkan dalam beberapa keadaan seperti puasa wajib atau bagi mereka yang sudah biasa berpuasa.

Namun, bagi mereka yang tidak biasa berpuasa, disarankan untuk tidak berpuasa selepas pertengahan Syaaban.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button