
91 peratus rumah mampu milik di WP siap dibina
KUALA LUMPUR – Campur tangan strategik kerajaan dalam menyelesaikan isu pembinaan rumah mampu milik di Wilayah Persekutuan membolehkan 91 peratus daripada jumlah unit yang dirancang dibina dalam tempoh 10 tahun berjaya disiapkan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, kerajaan merancang untuk membina sebanyak 80,000 unit Residensi MADANI dan Rumawip antara 2018 hingga 2028.
“Setakat ini, 91 peratus daripada sasaran tersebut telah berjaya dicapai, dengan 72,864 unit telah siap dibangunkan melalui 101 projek di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan, iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Labuan.
“Kejayaan ini bukan berlaku secara kebetulan, tetapi merupakan hasil campur tangan strategik Kerajaan, yang sentiasa mengadaptasi penyelesaian kreatif bagi memastikan pembangunan rumah mampu milik dapat direalisasikan,” katanya.
Dr. Zaliha berkata demikian bagi menjawab soalan Onn Abu Bakar (PH – Batu Pahat) mengenai keluasan tanah milik Persekutuan dan DBKL yang berpotensi untuk dibangunkan sebagai rumah mampu milik serta rancangan jangka pendek dan panjang bagi tujuan tersebut.
Beliau turut berkata, kerajaan sedar sasaran menyediakan rumah mampu milik secukupnya di Kuala Lumpur tidak akan terealisasi secara organik, kerana sifat industri pembinaan adalah berorientasikan keuntungan.
Sehubungan itu, pembangunan rumah mampu milik di Kuala Lumpur akan dilaksanakan secara lebih tersusun dan inklusif, selari dengan keperluan dalam visi Bandar CHASE yang menjadi rujukan pembangunan Wilayah Persekutuan.
Sehubungan itu, dalam konteks pembangunan bandar, kata Dr. Zaliha, Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL2040) dan Draf Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (DPTKL2040) telah mengenal pasti 139 tapak dengan keluasan keseluruhan 3,036.81 ekar yang berpotensi untuk pembangunan semula.
“Tapak-tapak ini merupakan kawasan yang berpotensi untuk dijadikan perumahan mampu milik apabila dibangunkan pada masa akan datang,” katanya lagi.
Bagi memastikan sasaran ini dapat dicapai, beliau berkata, Draf PTKL2040 telah memperkenalkan Zon Guna Tanah Kediaman 4 (R4), iaitu zon khusus bagi pembangunan rumah mampu milik termasuk perumahan awam, dengan keluasan 354.47 hektar.
Selain itu, perumahan mampu milik juga dirancang di zon pembangunan kediaman berintensiti tinggi, zon perdagangan, dan zon pembangunan bercampur, dengan tambahan keluasan 253.39 hektar.
“Keluasan yang berpotensi ini adalah untuk semua jenis kategori rumah mampu milik, tidak terhad kepada projek JWP seperti Residensi MADANI dan Rumawip sahaja,” jelasnya.
Beliau kemudiannya berkata, kerajaan turut mengambil langkah proaktif dan inisiatif kreatif bagi memastikan perumahan mampu milik dapat diakses oleh golongan yang memerlukan.
“(Sehubungan itu) Draf PTKL2040 turut menyenaraikan enam tapak bagi Perumahan Awam Sewa Bersubsidi (PASS) di atas tanah milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Program ini bertujuan menyediakan kediaman sewaan yang berpatutan khusus untuk golongan B40 dan sebahagian daripada M40,” katanya lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |