
Warga emas maut ditikam isteri
KAJANG – Akibat perselisihan faham, seorang warga emas maut setelah ditikam isterinya dalam satu kejadian di sebuah pangsapuri, di sini semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, laporan berhubung kejadian itu diterima pihaknya pukul 11.05 pagi tadi.
“Kejadian berlaku di hadapan kediaman pasangan suami isteri tersebut. Mangsa berusia 60 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala isterinya iaitu seorang wanita tempatan berusia 59 tahun ditahan untuk siasatan.
“Pasukan forensik polis yang menjalankan siasatan di lokasi turut merampas pisau yang disyaki digunakan untuk menikam mangsa serta beberapa sampel barang kes lain untuk siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Siasatan awal mendapati, kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham yang berlaku antara suami isteri terbabit.
Semakan mendapati, pasangan itu sudah berkahwin sejak 1988, dan mangsa yang maut bekerja sebagai kontraktor manakala isterinya tidak bekerja.
“Jasad mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Serdang dan hasil bedah siasat yang dijalankan pada jam 12.30 tengah hari tadi mendapati, kematiannya akibat tikaman beberapa kali.
“Suspek kini direman lima hari bermula hari ini sehingga 21 Februari depan untuk siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya lagi.
Naazron kemudian menambah, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes ini menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau Pegawai Penyiasat kes, Asisten Superintendan Mohamed Hafeez Hamzah di talian 019-6556536 bagi membantu siasatan.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |