
RM1.945 bilion dibelanja bagi stabilkan harga minyak masak sepanjang 2024
KUALA LUMPUR – Sebanyak RM1.945 bilion telah dibelanjakan bagi program Skim Penstabilan Harga Minyak Masak sepanjang tahun 2024.
Menurut Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Dr Fuziah Salleh, angka itu merangkumi peruntukan sebanyak RM845 juta dalam Belanjawan 2024 serta tambahan RM1.1 bilion melalui Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan.
“Skim ini bermula sekitar tahun 2007 untuk kegunaan isi rumah, tetapi pada Julai 2022, kerajaan memperluaskannya kepada industri mikro.
“Berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 2022, jumlah isi rumah yang layak menerima subsidi adalah 7.9 juta dengan keperluan sekitar 30,300 metrik tan minyak masak sebulan,” katanya.
Fuziah berkata demikian ketika menjawab soalan Cha Kee Chin (Rasah – PH) di Dewan Rakyat hari ini.
Jelas Fuziah, skim ini diperkenalkan sekitar 2007 bertujuan membantu keluarga isi rumah dan kegunaan domestik.
“Tetapi pada Julai 2022, Perdana Menteri pada ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri memanjangkan kegunaan minyak masak bersubsidi ini kepada industri mikro,” jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Fuziah berkata, kuota minyak masak bersubsidi sebanyak 60,000 metrik tan sebulan kekal mencukupi untuk memenuhi keperluan pengguna yang layak.
Jelasnya, penilaian itu berdasarkan kadar penggunaan isi rumah serta keperluan industri mikro seperti penjaja pasar malam dan peniaga makanan kecil.
“Berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 2022, jumlah isi rumah yang layak menerima subsidi adalah 7.9 juta dengan keperluan sekitar 30,300 metrik tan minyak masak sebulan.
“Data sama menunjukkan, industri mikro memerlukan sekitar 21,285 metrik tan minyak masak sebulan, menjadikan jumlah keseluruhan keperluan subsidi pada tahap 60,000 metrik tan,” katanya lagi.
Bagi mengekang ketirisan, Fuziah berkata, beberapa langkah kawalan telah diperkenalkan, termasuk had pembelian tiga paket minyak masak bersubsidi setiap transaksi, larangan eksport minyak masak subsidi dan sistem e-course untuk menjejak perjalanan minyak masak daripada kilang penapisan hingga ke peruncit.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |