
Peniaga jagung letak nota berbaur perkauman mohon maaf, janji tidak ulangi lagi
SEPANG – Peniaga jagung di sini yang mencetuskan kontroversi selepas meletakkan nota bertulisan tangan berbaur perkauman memohon maaf atas tindakannya itu.
Menurut Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang menerusi satu hantaran dalam laman X, isu itu berjaya diselesaikan selepas satu pertemuan diadakan antara peniaga itu dan pemimpin Kawasan Rukun Tetangga (KRT) serta wakil masyarakat India.
“Pemimpin KRT iaitu Roseman dan Syawal telah menjadi orang tengah dalam menyelesaikan polemik ini. Peranan mereka dalam menyelesaikan polemik ini turut memperkukuhkan keyakinan masyarakat terhadap peranan KRT sebagai agen perpaduan dan penyelesaian masalah.
“Ini juga menekankan pentingnya kerjasama antara pemimpin komuniti dan pihak berkuasa untuk memastikan suasana yang harmoni dan aman terpelihara,” katanya dalam hantaran itu.

Katanya, penjual jagung tersebut telah memohon maaf kepada seluruh masyarakat Malaysia khususnya kaum India kerana telah mencetuskan keadaaan yang tidak harmorni tersebut.
Malah katanya, peniaga itu juga berjanji tidak akan lagi mengulangi perbuatan tersebut pada masa-masa akan datang.
“Saya ingin menegaskan bahawa kita semua harus sentiasa berusaha memastikan bahawa setiap perkataan dan tindakan kita tidak menimbulkan perasaan tidak selesa, ketegangan atau salah faham di kalangan penganut agama, budaya, dan kaum yang berbeza.
“Malaysia adalah sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian etnik dan agama, dan adalah tanggungjawab kita bersama untuk menjaga keharmonian ini.
“Perpaduan negara hanya dapat dicapai jika setiap individu mengamalkan nilai saling memahami, menghormati, dan menerima perbezaan,” katanya.
Semalam tular sebuah gambar seorang penjaja jagung meletakkan makluman berbaur perkauman pada jualannya.
Gambar tular itu mendapat perhatian Aaron yang menegur tindakan itu dan menegaskan sebarang tindakan atau kenyataan yang boleh menggugat keharmonian antara kaum dan agama di negara ini tidak boleh dikompromi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |