Berita SemasaPolitik

Pemuda DAP gesa tindakan terhadap pegawai Lim Guan Eng

PETALING JAYA – Dua sayap Pemuda DAP hari ini mendesak tindakan disiplin diambil terhadap seorang pegawai kepada Pengerusi DAP, Lim Guan Eng susulan dakwaan mengganggu dan menghina Ketua DAP Pulau Pinang, Steven Sim, dalam satu majlis malam tadi.

Dalam kenyataan berasingan, Pemuda DAP Batu Kawan dan Pemuda DAP Bukit Mertajam menyelar tindakan pegawai berkenaan, Tan Khong Chong yang didakwa bertindak biadab dan mencemar imej parti.

Pemuda DAP Batu Kawan menegaskan tindakan tegas perlu diambil kerana insiden itu jelas melanggar etika kepartian dan boleh menjejaskan kredibiliti kepimpinan negeri.

“Kami tidak akan bertolak ansur dengan sebarang penghinaan atau serangan terbuka terhadap Ketua DAP Pulau Pinang. Ahli parti harus menghormati pemimpin negeri dan menjaga kelakuan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pemuda DAP Bukit Mertajam pula menekankan bahawa sebarang rasa tidak puas hati perlu disalurkan melalui saluran yang betul dan bukan secara terbuka.

“Mana-mana ahli yang secara terbuka mencabar Pengerusi DAP negeri sebenarnya mencabar kewibawaan parti. Ini tidak boleh dibiarkan.

“Kami mendesak parti menyiasat segera insiden ini dan akan menghantar surat rasmi kepada jawatankuasa negeri bagi menuntut tindakan disiplin,” katanya lagi.

Sebelum ini Malaysiakini melaporkan insiden berlaku ketika Sim menghadiri satu majlis makan malam dan sedang bersalaman dengan penyokong.

Tan tiba-tiba menghampiri dan mengherdiknya selama hampir 10 saat dengan kata-kata kesat, selain menuduhnya sebagai pengkhianat dan cuba menggugat kedudukan Lim.

Sehingga kini, tiada kenyataan rasmi daripada Tan atau kepimpinan tertinggi DAP berhubung perkara itu.

Bagaimanapun, desakan daripada Pemuda DAP menunjukkan ketegangan dalaman parti yang semakin ketara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button