Berita Semasa

‘Paratrooper’ cedera terlanggar motosikal ketika mendarat

KUALA LUMPUR – Seorang anggota Batalion ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja (18 RAMD (Para) cedera setelah terlanggar sebuah motosikal ditunggang orang awam ketika melakukan pendaratan sewaktu latihan penerjunan bebas di Kem Terendak, Melaka, Sabtu lepas.

Markas Tentera Darat (TDM) dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan kejadian tersebut dan memberitahu, insiden berkenaan melibatkan Kpl Mohd Zahier Zainol Abidin, 29, yang melakukan terjunan latihan sempena Eksesais Eagle Swift Siri 1/2025 di Zon Pendaratan (ZG) Airstrip di kem berkenaan.

“Ketika melakukan final approach menghampiri ZG, perubahan arah angin menyebabkan anggota terkeluar daripada garis pendaratan yang ditetapkan dan terpaksa mendarat di kawasan berhampiran.

“Semasa melakukan pendaratan, anggota berkenaan secara tidak sengaja melanggar sebuah motosikal yang sedang ditunggang oleh orang awam di lokasi kejadian,” kata TDM dalam kenyataan tersebut, hari ini.

Sejurus kejadian, katanya, pasukan recovery ZG bertindak pantas dengan memeriksa kedua-dua pihak yang terlibat dan mendapati penunggang motosikal tidak mengalami sebarang kecederaan sebelum meninggalkan tempat kejadian.

Bagaimanapun, Koperal Mohd Zahier telah dihantar ke 94 Hospital Angkatan Tentera (94 HAT) Kem Terendak untuk pemeriksaan lanjut dan disahkan hanya mengalami kecederaan ringan.

Berikutan itu, TDM menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian itu sehingga siasatan selesai.

Terdahulu, video kejadian turut menjadi tular di media sosial hingga mendapat pelbagai reaksi dan komen daripada netizen.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button