
Lelaki cuba bantu mangsa kemalangan maut dirempuh kereta
BENTONG – Seorang lelaki maut setelah dirempuh kereta yang hilang kawalan ketika cuba membantu mangsa kemalangan di Kilometer 69.2 Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur menghala ke Kuala Lumpur, pukul 5.30 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, mangsa, Tan Wing Foo, 47, meninggal dunia semasa menerima rawatan.
Katanya, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong menerima panggilan memaklumkan kemalangan yang berlaku itu.
“Pada mulanya beberapa kenderaan yang lalu di kawasan itu berhenti bagi membantu kereta yang terbabas ke dalam longkang.
“Semasa pengguna jalan raya membantu mengawal lalu-lintas, sebuah kereta hilang kawalan dan merempuh dua mangsa di tempat kejadian,” katanya.
Tambahnya, akibat kemalangan itu, empat mangsa dihantar ke Hospital Bentong untuk menerima rawatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Polis memohon kerjasama pihak yang menyaksikan kejadian tampil membantu siasatan,” katanya.
Beliau berkata, polis menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati ketika membantu mangsa kemalangan.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |