
Kira-kira 1 tan ikan bandaraya berjaya ditangkap di Sungai Klang
PUCHONG – Program pemuliharaan ekosistem, Lupus Ikan Bandaraya yang diadakan dengan kerjasama antara wakil rakyat, ahli majlis dan Skuad Pemburu Ikan Asing (SPIA) berjaya dilaksanakan di Sungai Klang, di sini hari ini.
Program itu bertujuan untuk menangani masalah ikan invasif, khususnya ikan bandaraya (Hypostomus plecostomus), yang telah merosakkan habitat asli ikan tempatan dan menyebabkan kerosakan ekosistem sungai.
Menurut Ahli Dewan Negeri (ADUN) Serdang, Abbas Salimmi Che Adzmi, beliau amat menyokong usaha yang dilaksanakan oleh Exco Infrastruktur dan Pertanian Negeri Selangor, Ir. Izham Hashim, dalam menangani ancaman ikan bandaraya.
“Program seperti ini amat penting untuk memelihara ekosistem sungai kita.
“Kami di kawasan DUN Seri Serdang berusaha bersama SPIA untuk menangkap ikan bandaraya dan mengelakkan kerosakan lebih lanjut terhadap tebing sungai yang terhakis akibat aktiviti spesies invasif ini,” katanya.
Sebelum ini Izham telah memulakan pelbagai inisiatif pemuliharaan, termasuk Program Pemuliharaan Sumber Perikanan Darat di Sungai Langat, di mana sebanyak 10,000 ekor benih ikan lampam dilepaskan dan 737 kilogram ikan bandaraya berjaya ditangkap dengan sasaran melepaskan ikan lampam dan menangkap ikan bandaraya.
Selain itu, kerajaan negeri mempertimbangkan pemberian insentif kepada individu yang menangkap ikan-ikan terlarang ini sebagai langkah menggalakkan penglibatan masyarakat dalam usaha pemuliharaan.
Turut terlibat, Ahli Majlis Majlis Perbandaran Kuala Langat, Nur Zairina Muzaini.
Dalam pada itu, Nur Zairina turut menekankan kepentingan memberi kesedaran kepada masyarakat tentang persekitaran dan pentingnya memelihara alam sekitar.
“Walaupun mungkin kelihatan remeh, tindakan seperti ini memberi impak besar kepada ekosistem dan alam sekitar kita,” katanya.
Turut membantu Ahli Majlis Zon 12 Majlis Bandaraya Subang Jaya, Fauzan Rosli membantu membersihkan kawasan laluan masuk ke sungai serta menyediakan tempat untuk usaha ini.
Walaupun tidak dapat hadir, fauzan telah menyatakan sokongan penuh terhadap usaha program ini.
Dalam pada masa yang sama , Pengasas Skuad Pemburu Ikan Asing (SPIA), Muhammad Haziq berkata, pihaknya menyasarkan untuk menangkap satu tan ikan bandaraya di Sungai Klang.
“Ikan bandaraya ini telah mendominasi sungai, menyebabkan ekosistem ikan tempatan terganggu dan tebing sungai mengalami hakisan akibat lubang yang digali oleh ikan tersebut untuk bertelur,” jelas Haziq.

Haziq juga berharap kejayaan program ini dapat menarik perhatian lebih ramai pihak dan masyarakat tempatan untuk terlibat dalam usaha pemuliharaan lebih besar.
“Jika kita berjaya menangkap satu tan ikan bandaraya ini, ia akan membuktikan kepada pihak berkenaan bahawa masalah ini amat serius dan memerlukan tindakan yang lebih besar.
“Saya berharap program ini dapat diteruskan untuk memulihkan ekosistem Sungai Klang dan mengembalikan populasi ikan tempatan,” tambahnya.
Program ini bukan sahaja bertujuan untuk memulihkan ekosistem tetapi juga menyediakan peluang untuk kajian saintifik yang berpotensi memberi manfaat kepada penghasilan produk organik.
“Ikan bandaraya yang ditangkap akan diproses dan dihantar ke sebuah universiti tempatan untuk diuji kaji tentang kebaikan dan keburukan ikan ini, khususnya dalam penghasilan baja organik.
“Selain itu kebiasaanya ikan-ikan ini akan dilupuskan dengan cara yang paling selamat,” jelasnya.
Melalui usaha berterusan ini, diharapkan kesedaran masyarakat dapat ditingkatkan tentang bahaya spesies invasif dan pentingnya menjaga kelestarian ekosistem sungai di Malaysia.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |