
JKNS tampil perjelas dakwaan tidak beri rawatan warga emas
KOTA MARUDU – Warga emas yang didakwa tidak menerima rawatan sewajarnya di Hospital Marudi baru-baru ini telah dikategorikan sebagai pesakit Zon Hijau atau tidak kritikal dan telah disyor mendapatkan rawatan di Jabatan Pesakit Luar (JPL).
Pengarah Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Dr. Maria Suleiman berkata, siasatan mengenai dakwaan itu telah dilakukan pihaknya dan mendapati pesakit tersebut telah melalui penilaian klinikal.
Katanya, pihak hospital juga telah memaklumkan kepada keluarga pesakit mengenai prosedur pendaftaran dan penggiliran sebelum menerima rawatan lanjut.
Jelasnya lagi, selepas proses tersebut, pihak keluarga wanita berkenaan telah memilih untuk tidak meneruskan pendaftaran di JPL sebaliknya memilih rawatan di fasiliti swasta.
“Setelah melalui proses pemeriksaan dan penilaian klinikal, pesakit tersebut dikategorikan sebagai Zon Hijau (tidak kritikal) dan disarankan untuk mendapatkan rawatan di Jabatan Pesakit Luar (JPL).
“Pihak kami kemudian dimaklumkan oleh keluarga pesakit bahawa video berkenaan dirakam dan ditularkan oleh individu bukan dalam kalangan ahli keluarga.
“Susulan penjelasan yang diberikan, pentadbir laman media sosial yang menyiarkan video tersebut telah menurunkan video itu di atas permintaan keluarga pesakit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Maria berkata, penggiliran dalam menerima rawatan bagi pesakit tidak kritikal dilakukan melalui sistem triage atau penilaian tahap kecemasan untuk memberi keutamaan kepada pesakit yang lebih memerlukan.
Sebelum ini, video berdurasi satu minit 40 saat tular di media sosial memaparkan seorang wanita warga emas terbaring dan didakwa tidak mendapat layanan ketika mendapatkan rawatan di sebuah hospital di daerah tersebut.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |