
JAKIM tegaskan isu lelaki berpakaian seperti wanita dalam acara hiburan tidak sepatutnya berlaku
PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menegaskan isu lelaki Muslim berpakaian seperti wanita dalam satu acara hiburan semalam, tidak sepatutnya berlaku.
Tegas Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee, perlakuan seumpama itu juga tidak berulang lagi pada masa akan datang.
“JAKIM mengambil perhatian serius terhadap isu yang tular mengenai lelaki Muslim berpakaian menyerupai wanita semasa sebuah acara program hiburan sehingga telah menimbulkan keresahan dan menyentuh sensitiviti agama Islam serta budaya di negara ini.
“(Sehubungan itu) JAKIM telah menghubungi dan memanjangkan perkara ini kepada MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia) yang mengawal selia industri berdasarkan peruntukan sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Di samping itu, pihak berkenaan akan turut dipanggil untuk mendapatkan penjelasan lanjut dan satu sesi perbincangan secara tertutup juga akan diadakan bagi memberikan nasihat serta bimbingan.
“Islam adalah agama rahmah dan menyantuni fitrah manusia yang menginginkan hiburan, malah hiburan juga sebagai salah satu elemen yang membawa kepada kegembiraan, kesejahteraan dan memupuk nilai-nilai murni.
“Namun, ia perlu dibatasi dengan adab dalam berhibur agar tidak bercanggah dengan akidah, syariah dan akhlak Islam,” katanya lagi dalam kenyataan tersebut.
Isu ini menjadi tular di media sosial sejak semalam, dengan hantaran yang dikongsikan netizen turut memaparkan video dan imej beberapa lelaki berpakaian wanita di karpet merah acara hiburan televisyen tempatan mendapat kecaman orang ramai dan teguran para pendakwah.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |