
Imam gay pertama dunia ditembak mati
CAPE TOWN – Imam gay pertama di dunia, Muhsin Hendricks, ditembak mati dalam satu serangan dua lelaki bertopeng berhampiran bandar Gqeberha, Afrika Selatan, kelmarin.
Hendricks, 57, imam Masjidul Ghurbaah di Cape Town, dikenali sebagai imam pertama yang mengisytiharkan diri secara terbuka sebagai gay dan membela nasib Muslim yang terpinggir.

Menurut polis, salah seorang daripada suspek bertopeng keluar dari sebuah kenderaan pacuan empat roda sebelum melepaskan beberapa das tembakan ke arah kenderaan yang dinaiki Hendricks.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tular di media sosial menunjukkan sebuah pacuan empat roda memintas kenderaan dinaiki Hendricks sebelum seorang penyerang berlari ke arahnya dan melepaskan tembakan bertubi-tubi melalui tingkap penumpang belakang.
Berita kematian Hendriks mengejutkan komuniti LGBTQ+ di seluruh dunia yang mengecam tindakan tersebut.
Pengarah Eksekutif Persatuan Antarabangsa Lesbian, Gay, Biseksual, Trans dan Interseks, Julia Ehrt, menggesa pihak berkuasa menyiasat insiden tersebut yang dipercayai sebagai jenayah kebencian.
“Beliau menyokong ramai individu dalam usaha mendekati agama dan kematian pada Sabtu lalu adalah satu kehilangan besar,” kata Ehrt.
Media tempatan melaporkan, Hendricks dipercayai ditembak selepas mengendalikan majlis perkahwinan pasangan lesbian, namun perkara itu belum disahkan secara rasmi.
Sementara itu, Yayasan Al-Ghurbaah yang menguruskan Masjidul Ghurbaah di Wynberg, Cape Town, mengesahkan Hendricks maut di tempat kejadian.
Pengerusi Lembaga Yayasan, Abdulmugheeth Petersen, menyeru orang ramai agar bertenang dan menghormati privasi keluarga Hendricks.
Hendricks terkenal kerana mencabar konsep konservatif Islam dengan memperjuangkan pendekatan agama secara lebih inklusif dan terbuka.
Hendricks mengaku secara terbuka sebagai gay pada tahun 1996, mencetuskan kontroversi dalam kalangan komuniti Muslim di Cape Town dan seluruh dunia.
Untuk rekod, Afrika Selatan merupakan negara pertama di benua itu yang menghalalkan perkahwinan sejenis pada tahun 2006, namun komuniti LGBTQ+ berdepan tentangan dari masyarakat.
Polis kini menyiasat motif serangan dan meminta saksi tampil membantu siasatan.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |