
DAP Klang pertahan Lim Guan Eng, isyarat penolakan cabaran dalaman?
KLANG – Sokongan padu yang ditunjukkan DAP Klang kepada Pengerusi DAP, Lim Guan Eng, dalam satu majlis makan malam di sini mencetuskan spekulasi mengenai kedudukannya dalam parti menjelang pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC).
Majlis yang diadakan di Restoran Sin Look Fook Moon itu dihadiri lebih 300 perwakilan dari lebih 120 cawangan sekitar Klang, Kota Raja dan Shah Alam, sekali gus dilihat sebagai usaha mengukuhkan sokongan kepada Guan Eng di saat wujudnya desas-desus mengenai cabaran dalaman terhadap kepimpinannya.

Penganjuran majlis yang menampilkan kehadiran pemimpin kanan parti seperti Gobind Singh Deo, Teresa Kok, Yeo Bee Yin dan Ng Suee Lim memperlihatkan seolah-olah wujud gerakan menyatukan ahli untuk menangkis sebarang usaha menggugat kedudukan Guan Eng dalam DAP.
Penganjur, V. Ganabatirau berkata, majlis tersebut bertujuan memperkukuh kesatuan parti serta menyampaikan sokongan penuh kepada kepimpinan sedia ada.
Namun, pemerhati politik berpendapat bahawa kehadiran ramai pemimpin utama DAP dalam majlis itu mungkin bukan sekadar pertemuan biasa, tetapi sebagai satu bentuk isyarat kepada pihak yang dikatakan tidak sehaluan dengan Guan Eng.

“Pemilihan CEC sentiasa menjadi medan pertembungan antara kem dalam parti. Majlis seperti ini jelas menunjukkan adanya usaha mengukuhkan pengaruh,” kata seorang penganalisis yang enggan dikenali.
Meskipun kepimpinan DAP Klang menegaskan bahawa parti kekal bersatu, terdapat spekulasi bahawa sesetengah pihak dalam parti mahu melihat perubahan dalam barisan kepimpinan tertinggi.
Setakat ini, Guan Eng belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai spekulasi tersebut, namun ucapannya yang menegaskan “DAP bukan sekadar sebuah parti politik tetapi satu gerakan yang terus memperjuangkan demokrasi dan kemajuan negara” seolah-olah memberi mesej bahawa beliau tidak akan berganjak daripada perjuangan yang telah dibawanya sekian lama.
Apakah majlis itu petanda bahawa Guan Eng sedang memperkukuh kedudukannya atau sekadar acara rutin parti? Hanya keputusan pemilihan CEC nanti yang bakal memberikan jawapan sebenar.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |