Berita Semasa

Petra News diminta selesaikan tunggakan caruman, gaji pekerja dengan kadar segera

KUALA LUMPUR – Petra News Sdn. Bhd. (Petra News) diminta untuk mengadakan perbincangan di peringkat dalaman dengan pekerjanya bagi menyelesaikan segera isu tunggakan caruman berkanun serta kelewatan pembayaran gaji.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil meminta agar penerbit portal berita The Malaysian Insight, The Vibes dan Getaran itu menyelesaikan kemelut syarikat itu secepat mungkin, memandangkan ia telah berlarutan sekian lama.

“Sejak beberapa bulan lepas saya telah berhubung dengan pihak syarikat tersebut kerana memang sejak tahun lepas saya mendapat maklumat dan cuba membantu wartawan yang terkesan akibat tindakan tidak membuat bayaran sama ada gaji dan sebagainya oleh syarikat tersebut.

“Saya tidak pasti kenapa pertemuan tidak diadakan sebelum ini, tetapi saya telah tegaskan kepada pemilik syarikat tersebut supaya diuruskan segera,” katanya sambil menambah beliau akan menunggu hasil pertemuan itu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menziarahi keluarga bekas wartawan Utusan Melayu (M) Bhd Muhammad Basir Abu Bakar yang meninggal dunia semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.

Semalam, 15 petugas Petra News Sdn Bhd menuntut pembayaran segera caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Potongan Cukai Bulanan (PCB) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi tahun lepas.

Mereka memaklumkan, semakan dengan KWSP, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Perkeso mendapati Petra News gagal menyerahkan bayaran bagi pihak pekerja dan majikan kepada pihak berkuasa berkaitan, walaupun pemotongan gaji telah dibuat untuk caruman berkanun.

Selain itu, petugas terjejas juga telah membuat laporan di Balai Polis Travers, Brickfields dua hari lalu.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, selain isu bekenaan, pihaknya juga telah membantu beberapa kes lain melibatkan wartawan yang terkesan akibat keputusan majikan masing-masing.

“Terdapat beberapa media lain yang telah ‘melepaskan’ pekerja-pekerja mereka dan saya juga telah membantu. Ini bukan dalam kes ini sahaja tetapi beberapa kes yang lain.

“Saya cuba untuk dapatkan pekerjaan bagi mereka di mana-mana syarikat atau kementerian jika bersesuaian. Saya juga akan cuba membantu seramai mungkin wartawan yang terkesan akibat keputusan yang dibuat oleh majikan masing-masing,” ujarnya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button