
Perarakan Harmoni 2025 meriah, semangat perpaduan diteruskan
KUALA LUMPUR – Perarakan Harmoni 2025 yang berlangsung di Dataran Merdeka malam tadi berjaya menyerlahkan kepelbagaian budaya Malaysia serta mengukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, sambutan Hari Wilayah Persekutuan Harmoni 2025 itu bukan sekadar perayaan tetapi satu usaha penting dalam menyemai kefahaman dan penghormatan terhadap kepelbagaian agama serta budaya di negara ini.
“Kita mahu rakyat Malaysia memahami, menghormati dan menerima perbezaan sebagai satu keunikan. Inisiatif ini selari dengan prinsip Malaysia Madani dalam memastikan perpaduan dan kesejahteraan negara terus terpelihara,” katanya ketika berucap di sini semalam.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa serta barisan kepimpinan agensi berkaitan yang turut menyatakan komitmen dalam usaha memperkukuh keharmonian negara.
Perarakan Harmoni yang menjadi acara kemuncak sambutan itu menyaksikan penyertaan 10 kumpulan etnik utama di Malaysia, antaranya Melayu, Cina, India, Sabah, Sarawak, Orang Asli, Baba dan Nyonya, Chetti, Siam dan Jawa.
Setiap kumpulan mempersembahkan pakaian tradisional, alat muzik, serta tarian warisan masing-masing.
Lebih menarik, kereta berhias yang dihiasi dengan seni bina dan motif budaya setiap kaum turut mencuri tumpuan ribuan pengunjung yang hadir.
Menurut Aaron, kerajaan berharap acara itu dapat dijadikan program tahunan sebagai simbol keunikan Malaysia yang perlu terus diraikan.
“Kita mahu perarakan itu bukan sahaja memperkukuh hubungan antara kaum tetapi juga menjadi daya tarikan pelancongan yang mempamerkan keindahan budaya Malaysia kepada dunia,” katanya lagi.
Dalam ucapannya, Aaron menegaskan kepentingan meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai kepelbagaian agama dan budaya bagi mengelakkan salah faham yang boleh menjejaskan keharmonian.
“Kita perlu cakna dan menghargai kepelbagaian ini sebagai kekuatan bukan perpecahan.
“Setiap etnik di Malaysia mempunyai keunikan tersendiri dan kita harus meraikannya,” katanya lagi.
Beliau turut berkata, dengan usaha bersama kita mampu membina negara yang lebih harmoni, progresif dan kukuh.
Sambutan Hari Wilayah Persekutuan Harmoni 2025 turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti sampingan seperti pameran kebudayaan, persembahan seni tradisional dan program interaksi antara kaum, mencerminkan semangat perpaduan sejati rakyat Malaysia.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |