Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Penyelia kedai runcit ditetak hingga maut akibat lewat bayar gaji

SHAH ALAM – Akibat lewat membayar gaji, seorang penyelia kedai runcit ditetak berkali-kali menggunakan pisau pemotong daging oleh pekerjanya di hadapan deretan kedai di Seksyen 7, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian itu kira-kira pukul 8.26 pagi dan kemudian polis bergegas ke lokasi.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat awal, sebelum kejadian itu, berlaku pertengkaran mulut membabitkan mangsa yang merupakan warga Bangladesh dengan salah seorang pekerjanya, juga rakan senegara.

“Bagaimanapun keadaan menjadi semakin tidak terkawal apabila berlaku pergelutan di antara mereka, yang kemudian mengakibatkan suspek menetak mangsa yang berusia 45 tahun menggunakan pisau pemotong daging berulang kali,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut Mohd Iqbal lagi, akibat tetakan itu mangsa mengalami kecederaan parah di kepala, badan, tangan dan mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Susulan kejadian itu, beliau memaklumkan, polis menahan tiga lelaki warga Bangladesh termasuk suspek utama kira-kira pukul 1.49 petang, hari sama, manakala dua wanita warga sama turut ditahan untuk membantu siasatan.

“Kesemua mereka yang berusia 33 hingga 53 tahun katanya, ditahan reman tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaaan kerana membunuh.

“Semakan lanjut ke atas kesemua suspek mendapati tiada sebarang rekod jenayah lampau serta ujian saringan air kencing juga negatif,” jelasnya.

Dalam pada itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superitendan Mohd Afandi Ahmad di talian 016-7252948 atau mana-mana balai polis berhampiran.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button