
Digital AgTech bantu 30,000 usahawan tani tingkat kecekapan operasi
KUALA LUMPUR – Seramai kira-kira 30,000 usahawan tani telah menerima latihan untuk mengadaptasi teknologi Internet of Things (IoT) dan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian mereka, setakat akhir Januari tahun ini.
Kementerian Digital dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, inisiatif tersebut adalah hasil daripada lebih 600 sistem ‘Malaysia Digital Agriculture Technology’ (Digital AgTech) yang telah dilaksanakan di seluruh negara.
Katanya, inisiatif Digital AgTech, yang merangkumi semua sub-sektor pertanian utama, membantu memperkasakan operasi pertanian melalui penggunaan teknologi digital yang berasaskan data masa nyata.
“Inisiatif ini terbukti dapat meningkatkan produktiviti, pendapatan, dan mengurangkan kos operasi, sekali gus menyumbang kepada usaha meningkatkan keterjaminan makanan negara.
“Keberhasilan yang telah dicapai termasuk peningkatan produktiviti dan pendapatan sehingga 20 peratus, serta pengurangan kos operasi sehingga 30 peratus.
“Inisiatif ini juga turut memberi manfaat kepada komuniti B40 dan golongan belia, dengan lebih 50 peratus peserta berusia di bawah 40 tahun berpotensi menjana pendapatan sehingga RM10,000 setahun melalui pengadaptasian teknologi digital,” katanya.

Terdahulu, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) telah menganjurkan program Jelajah Malaysia Digital (JMD) @ Sabah yang memfokuskan kepada pengadaptasian AI melalui inisiatif Digital AgTech.
Majlis pelancaran Jelajah Malaysia Digital @ Sabah dirasmikan oleh Menteri Digital, Gobind Singh Deo dan Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin.
Menurut Kementerian Digital, program tersebut bertujuan memodenkan sektor pertanian dengan penggunaan teknologi digital bagi meningkatkan daya saing, produktiviti, serta memastikan keterjaminan makanan negara.
Jelas Kementerian Digital, pelaksanaan program ini adalah selaras dengan pelantikan MDEC sebagai Pengesah Teknologi Strategik oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
“Sabah merupakan negeri kedua terbesar yang menerima manfaat daripada Digital AgTech, selepas Selangor, dengan lebih 70 sistem Digital AgTech yang diperkasakan dengan teknologi IoT telah dilaksanakan di seluruh negeri Sabah pada tahun 2024,” katanya.
Tambah Kementerian Digital, program JMD @ Sabah adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk memperkasa ekosistem digital negara.
“Inisiatif ini juga seiring dengan sasaran untuk meningkatkan sumbangan ekonomi digital kepada 25.5 peratus daripada KDNK menjelang 2025 dan membuka peluang lebih 500,000 pekerjaan baharu,” menurut kenyataan itu lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |