Berita Semasa

Tuduhan Naib Canselor UMPSA, UMK tidak ikut saringan tidak berasas

PUTRAJAYA – Jawatankuasa Tetap Pemilihan Naib Canselor Universiti Awam (JKTPNCUA) menyangkal dakwaan pelantikan Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) tidak mengikut proses saringan dan temuduga sebelum pelantikan dibuat.

Pengerusinya, Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata, pemilihan itu adalah dibuat dengan teratur mengikut garis panduan terkini yang ada.

Malah katanya, beliau turut bertindak sebagai pengerusi temuduga pemilihan kedua-dua naib canselor itu.

“Saya mengalu-alukan pandangan yang konstruktif untuk meningkatkan kecemerlangan pendidikan tinggi negara, namun kenyataan yang salah ini perlu diperbetulkan.

“Untuk makluman, semua proses pemilihan adalah sangat terperinci dan intensif. Secara ringkas prosesnya ialah dengan mengeluarkan iklan untuk saringan pertama yang dibuat oleh Lembaga Pengarah Universiti (LPU) universiti berkenaan.

“Saya mengetuai lawatan sesi libat urus jawatankuasa ini selama 2 hari di UMPSA dan UMK. JKTPNCUA bertemu dan mendapatkan maklum balas mengenai universiti berkenaan daripada tujuh kumpulan wakil pemegang taruh universiti, iaitu LPU dan pentadbiran, senat, pensyarah muda, alumni, rakan industri, persatuan berkaitan (akademik, pentadbir dan pelaksana) serta perwakilan pelajar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Seterusnya, katanya, saringan kedua dibuat oleh jawatankuasa itu di mana pada peringkat itu input tambahan diperoleh daripada proses profiling kepimpinan universiti awam (UA) secara terperinci yang dibuat oleh Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi.

“Calon-calon yang disenarai pendek seterusnya dipanggil untuk ditemubual. Temubual dihadiri bersama oleh Pengerusi LPU dan dua wakil Senat UMPSA dan UMK.

“Berkemungkinan proses di peringkat ini tidak begitu difahami oleh masyarakat awam. Sepanjang tahun, terdapat beberapa buah UA yang tempoh lantikan naib canselornya akan tamat.

“Oleh yang demikian, beberapa proses yang di atas dan sesi temubual akan dibuat sepanjang tahun. Sepanjang proses ini JK mewujudkan ‘pool’ calon-calon yang berwibawa,” katanya.

Noor Azlan berkata, beliau sendiri mengesahkan kedua-dua naib canselor baharu UMPSA dan UMK itu telah ditemubual oleh jawatankuasa itu.

“Hantaran yang mengatakan lantikan Naib Canselor UMPSA dan UMK tidak mengikut proses adalah salah. Satu tuduhan yang melulu yang tidak berasas.

“Proses pemilihan naib canselor adalah melalui jawatankuasa yang saya sendiri pengerusikan untuk menasihati menteri berdasarkan kaedah yang saya jelaskan.

“Penubuhan jawatankuasa ini adalah mengikut lunas undang-undang di mana ia telah diperuntukkan dalam perenggan 4A Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

“Menteri akan memilih salah seorang calon untuk dilantik sebagai naib canselor berdasarkan peruntukan undang-undang dalam Bahagian I, Seksyen 9 (1), Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU),” tegasnya.

Justeru katanya, semua pelantikan itu dilunas berpandukan undang-undang serta akta yang termaktub dan segala tohmahan dan tuduhan yang dilakukan adalah langsung tidak berasas.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button