Sukan

Michael Oliver digantung, keputusan kontroversi dalam Derby Merseyside dibidas

LONDON – Pengadil Michael Oliver, kini berdepan penggantungan daripada mengadili perlawanan melibatkan dua kelab Liga Perdana Inggeris selepas prestasinya dalam Derby Merseyside mencetuskan kontroversi dan kemarahan peminat bola sepak.

Oliver menjadi sasaran kritikan hebat selepas keputusan-keputusan yang dibuatnya dalam perlawanan antara Everton dan Liverpool yang berakhir dengan keputusan seri 2-2 pada selasa lalu.

Peminat Liverpool mendakwa beliau sepatutnya memberikan sepakan percuma kepada Mohamed Salah sebelum James Tarkowski menjaringkan gol kemenangan dramatik untuk Everton pada masa kecederaan.

Selain itu, penyokong Everton turut membangkitkan rasa tidak puas hati mengenai keputusan memberikan sepakan percuma yang membawa kepada gol pertama mereka serta kegagalan menghadiahkan penalti selepas bola terkena tangan Ibrahima Konate dalam situasi yang dipersoalkan.

Ketegangan semakin memuncak apabila Oliver mengeluarkan kad merah kepada Abdoulaye Doucoure dan Curtis Jones selepas tamat perlawanan akibat insiden pergaduhan besar di atas padang.

Malah, pengurus Liverpool, Arne Slot, dan penolongnya, Sipke Hulshoff, turut menerima kad merah dalam insiden berkenaan.

Susulan prestasi kontroversinya, Oliver kini diketepikan daripada mengadili mana-mana perlawanan melibatkan Liverpool dalam tempoh terdekat.

Namun, PGMOL mengesahkan beliau masih bertugas sebagai pegawai VAR bagi perlawanan Brighton menentang Chelsea pada Isnin ini.

Lebih mengejutkan, Oliver sebenarnya telah lama dilarang daripada mengendalikan perlawanan melibatkan Newcastle United dan Sunderland.

Sebagai penyokong seumur hidup Newcastle dan bekas pemain akademi kelab itu, beliau tidak dibenarkan mengadili perlawanan Magpies atas faktor konflik kepentingan.

Peraturan yang sama turut menyebabkan beliau tidak boleh mengendalikan perlawanan Sunderland, musuh tradisi Newcastle dalam Derby Tyne & Wear.

Dengan Sunderland kini di kedudukan keempat dalam Liga Kejuaraan dan berpotensi untuk naik ke Liga Perdana musim depan, kemungkinan Oliver kembali terlibat dalam perlawanan berkaitan musuh tradisi itu terus menjadi tanda tanya.

Dalam satu wawancara terdahulu, Oliver pernah menjelaskan peraturan larangan ini.

“Kami perlu mengisytiharkan jika mempunyai kaitan dengan mana-mana kelab atau jika ahli keluarga bekerja dengan sesebuah pasukan.

“Oleh sebab itu, saya tidak boleh mengadili perlawanan Newcastle dan juga Sunderland atas sebab yang jelas.”

Walaupun beliau kekal sebagai antara yang paling dihormati dalam Liga Perdana Inggeris, episod kontroversi itu menimbulkan persoalan sama ada prestasinya telah mula dipengaruhi faktor luar, sekali gus mengundang desakan agar sistem pengadilan liga tertinggi England diteliti semula.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button