
Dr Arham dilantik Naib Canselor UMK yang baharu
PUTRAJAYA – Prof Ts Dr Arham Abdullah dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang baharu berkuat kuasa 16 Februari ini.
Menurut Kementerian Pendidikan Tinggi, watikah pelantikan itu disampaikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir hari ini.
“Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana dalam bidang Kejuruteraan dari Universiti Teknologi Malaysia pada tahun 1998 dan 1999 serta Ijazah Doktor Falsafah dalam Pengurusan Binaan (Construction Management) di Loughborough University, United Kingdom pada tahun 2003.
“Memulakan kerjayanya sebagai pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada tahun 1999 dan pernah dilantik sebagai Timbalan Pengarah (Inovasi) di Pusat Inovasi dan Pengkomersialan, UTM dari tahun 2010 hingga 2014,” katanya dalam satu hantaran dalam laman Facebooknya hari ini.
Seterusnya, katanya, beliau dipinjamkan ke Jabatan Pendidikan Tinggi selama lima tahun dari tahun 2014 sebagai Pengarah Bahagian Hubungan Industri sebelum dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMK dari tahun 2019 hingga kini.
“Memiliki kepimpinan institusi dan pengalaman pentadbiran organisasi yang luas di pelbagai peringkat, kementerian yakin beliau mampu menerajui UMK dalam mengupayakan pembangunan akademik dan memperkasa kecemerlangan berteraskan inovasi bagi melahirkan bakat terbaik negara terutama dalam bidang keusahawanan secara optimum.
“Kementerian turut mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Prof. Dr. Razli Che Razak atas jasa bakti beliau menerajui UMK sebelum ini,” katanya.
Hadir sama di sesi penyerahan di pejabat Menteri petang tadi ialah Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |