Berita SemasaDalam Negeri

Anfaal seru wanita Muslimah sebar nilai Islam, didik keluarga dengan kasih sayang

PETALING JAYA – Exco Kerajaan Negeri Selangor, Anfaal Saari menyeru wanita Muslim agar menyebarkan nilai-nilai Islam dan mendidik keluarga dengan kasih sayang bukan kebencian.

Beliau berkata sedemikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Pertubuhan Hawa Pertiwi Daerah Petaling dalam satu majlis yang berlangsung di sini, hari ini.

Dalam ucapannya, beliau menzahirkan penghargaan kepada pertubuhan tersebut atas usaha membantu golongan asnaf dan komuniti setempat.

Malah, beliau turut menyifatkan inisiatif itu sebagai manifestasi semangat masyarakat Madani yang bergerak dari rakyat untuk rakyat.

“Sebagai wanita Muslimah, kita perlu menyebarkan nilai-nilai Islam yang sederhana serta mendidik keluarga dengan penuh kasih sayang bukannya kebencian.

“Kita juga harus menolak sentimen yang boleh memecahbelahkan masyarakat dan bergerak bersama ke arah keharmonian,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau turut menegaskan komitmen Kerajaan Negeri Selangor dalam mewujudkan masyarakat yang mesra keluarga.

Menurutnya, anak-anak yang dibesarkan dengan kasih sayang dan didikan yang baik akan membentuk masyarakat yang lebih penyayang dan harmoni pada masa hadapan.

Anfaal turut mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Pertubuhan Hawa Pertiwi Daerah Petaling atas usaha mereka dalam membantu golongan memerlukan serta memperkukuh kesejahteraan sosial.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh barisan kepimpinan pertubuhan, ahli-ahli jawatankuasa serta wakil masyarakat setempat.

AGM tersebut menjadi platform penting bagi merancang hala tuju dan strategi pertubuhan dalam memperkasa peranan wanita serta memperkukuh kebajikan masyarakat di daerah Petaling.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button