
Tiada kerjasama rasmi pendidikan antara Malaysia dengan Taliban – Fadhlina
KUALA LUMPUR – Tiada sebarang bentuk perjanjian rasmi atau kerjasama dua hala antara Kerajaan Malaysia dan Afghanistan dimeterai dalam bidang pendidikan, kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Menurut Fadhlina, ia adalah kerana Malaysia tidak mempunyai hubungan rasmi atau kerjasama strategik dengan Kerajaan Taliban di Afghanistan, selain belum mengiktiraf Pihak Berkuasa De Facto Afghanistan (PBDFA).
“Lawatan delegasi Kementerian Pendidikan Afghanistan ke Malaysia pada tahun lalu bertujuan memberi pendedahan berkenaan sistem pendidikan di negara ini.
“Ini kerana Malaysia sudah lama diiktiraf sebagai salah satu negara Islam yang moden dan progresif dengan sistem pendidikan yang mampan serta inklusif,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) mengenai hubungan dua hala yang terjalin antara kerajaan Malaysia dan Afghanistan dalam bidang pendidikan.
Tambah Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal, lawatan itu memberi peluang kepada delegasi Afghanistan memahami lebih lanjut mengenai pendekatan dan amalan terbaik dalam bidang pendidikan yang diamalkan di negara ini.
Jelas beliau, lawatan itu dibiayai sepenuhnya oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa yang bertanggungjawab menguruskan dana yang disediakan oleh Kesatuan Eropah dalam usaha menyokong pembangunan kapasiti di Afghanistan.
“Dalam hal ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan terus mendapatkan nasihat dan panduan daripada Kementerian Luar Negeri (KLN) yang bertanggungjawab dalam menetapkan dasar hubungan dua hala Malaysia sebelum sebarang bentuk kerjasama dapat dipertimbangkan,” katanya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |