
SPRM reman 4 individu berpangkat babit rasuah tuntutan palsu RM2.6 juta
JOHOR BAHRU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan reman empat individu termasuk dua pengarah syarikat dan dua naib presiden kanan syarikat, bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah serta tuntutan palsu berjumlah RM2.6 juta.
Seorang suspek lelaki bergelar Datuk direman selama lima hari sehingga 17 Februari 2025, manakala tiga lagi suspek – dua lelaki dan seorang wanita – direman selama empat hari sehingga 16 Februari 2025.
Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin di Mahkamah Majistret Putrajaya, semalam.
Menurut sumber, suspek bergelar Datuk dipercayai berpakat dengan seorang pengarah syarikat untuk memberi rasuah bagi mendapatkan tender penjualan tanah.
“Wang rasuah tersebut dipercayai dirancang untuk dibayar kepada seorang pegawai syarikat konglomerat multinasional tempatan bagi memastikan kelulusan tender penjualan tanah di Klang.
“Siasatan awal mendapati pengarah syarikat itu bersama dua naib presiden kanan telah mengemukakan dokumen mengandungi maklumat palsu untuk mengeluarkan wang syarikat berjumlah kira-kira RM2.6 juta.
“Wang tersebut kemudian dipindahkan ke akaun syarikat lain,” katanya.
Keempat-empat suspek, berusia lingkungan 50-an hingga 60-an termasuk seorang pengurus akaun telah ditahan antara jam 5 petang hingga 8 malam semalam semasa hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.
Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Zainul Darus mengesahkan penahanan tersebut. Kes kini disiasat di bawah Seksyen 16(b)(A) dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Bagaimanapun, pengurus akaun yang turut ditahan telah dibebaskan dengan jaminan SPRM.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |